Korban gempa Indonesia meningkat 30 orang

Korban gempa Indonesia meningkat 30 orang

Gabenor pulau Maluku mengisytiharkan darurat sehingga 9 Okt depan.

Sekurang-kurangnya 25,000 orang melarikan diri kerana rumah mereka musnah akibat gegaran kuat yang berlaku di kota Ambon di wilayah Maluku, Indonesia. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Angka korban akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau Maluku, Indonesia mencecah 30 orang pada Ahad, termasuk beberapa orang bayi, kata agensi bencana.

Pada Khamis, penduduk yang ketakutan menyelamatkan diri ke jalan raya apabila bangunan di sekiling mereka runtuh apabila gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda pulau tersebut, diikuti tanah runtuh yang menimbus sekurang-kurangnya seorang mangsa.

Antara yang disahkan terkorban ialah tiga kanak-kanak, sementara ramai yang terkorban akibat runtuhan di sekitar kota Ambon.

Gabenor wilayah berkenaan mengisytiharkan darurat sehingga 9 Okt depan, kata agensi itu lagi.

“Setakat pagi Ahad, 30 maut dan 156 cedera, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Agus Wibowo.

Pada Jumaat, agensi tersebut mengurangkan angka kematian rasmi daripada 23 kepada 19 orang setelah pegawai menyedari sesetengah korban dikira dua kali.

Sekurang-kurangnya 25,000 orang melarikan diri kerana rumah mereka musnah akibat gegaran kuat yang berlaku, kata Wibowo.

Beratus-ratus rumah kediaman, pejabat, sekolah dan kemudahan awam rosak dalam kejadian. Pihak berkuasa mendirikan khemah kecemasan dan dapur umum kepada mangsa di beberapa daerah.

Agensi Kajian Geologikal AS berkata, gempa bumi itu berpusat kira-kira 37km di timur laut Ambon di wilayah Maluku pada kedalaman 29km.

Indonesia merupakan negara kepulauan paling kerap dilanda gempa bumi di Asia Tenggara.

Ia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi berikutan kedudukannya dalam “Lingkaran Api Pasifik” yang menyaksikan pentas tektonik berlanggar.

Tahun lepas gempa berukuran 7.5 magnitud dan tsunami yang berlaku selepas itu di Palu di pulau Sulawesi mengakibatkan 4,000 orang terbunuh atau hilang.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud di luar pantai Sumatra mengakibatkn tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di wilayah itu, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.