Wakil rakyat wanita Indonesia marah dihalang speaker baca doa

Wakil rakyat wanita Indonesia marah dihalang speaker baca doa

Rahayu Saraswati akan menjadi wanita dan orang bukan Islam pertama yang akan membacakan doa pada sidang penuh Majlis Permusyawaratan Rakyat.

Rahayu Saraswati Djojohadikusumo. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat Indonesia kecewa dengan Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Zulkifli Hasan, yang menurutnya halang beliau daripada menjalankan peranannya sebagai pembaca doa di sidang penuh semalam.

Menurut laporan akhbar Indonesia, Jakarta Post, Rahayu Saraswati Djojohadikusumo dari parti Gerindra diberitahu beliau dilantik untuk membacakan doa penutup tetapi kemudian dimaklumkan oleh pemimpin parti bahawa Zulkifli tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

“Saya rasa amat kecewa kerana saya akan menjadi wanita pertama, serta orang bukan Islam pertama, yang akan membacakan doa pada sidang penuh,” kata Rahayu menurut laporan itu.

Rahayu kemudian meminta peranan itu diberikan kepada wakil rakyat lain yang beragama Kristian, tetapi nampaknya sesi doa itu telah dipadamkan daripada aturcara majlis.

“Adakah bantahannya kerana saya perempuan, atau kerana saya bukan orang Islam?” katanya.

Seorang lagi wakil rakyat Gerindra, Fadli Zon kesal dengan kejadian itu, mengatakan penolakan oleh speaker itu tidak patut berlaku jika benar sesi doa telah djadualkan.

“Kami akan periksa,” katanya.

Zulkifli, yang juga pengerusi Parti Amanat Nasional, menyokong calon Gerindra, Prabowo Subianto, yang juga bapa saudara Rahayu pada pemilihan presiden April lepas.

PAN bagaimapun mula beralih kepada calon yang menang, Joko Widodo sejak kekalahan Prabowo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.