Umno dan PH akan pertahan Syiah jika penganut Sunni tolak penganiayaan, kata ahli akademik

Umno dan PH akan pertahan Syiah jika penganut Sunni tolak penganiayaan, kata ahli akademik

Persengketaan antara Sunni-Syiah menjadi lebih rumit kerana sikap penganut Sunni di Malaysia berdiam diri dalam isu penganiayaan terhadap Syiah

Pakar sosiologi Syed Farid Alatas.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli akademik percaya jika masyarakat Melayu Islam yang berfahaman Sunni bersuara menentang penganiayaan terhadap penganut Syiah di Malaysia, semua parti politik Melayu juga akan memperjuangkan golongan Islam minoriti itu.

Syed Farid Alatas berkata, ini susulan persengkataan yang melanda penganut mazhab Syiah dan Sunni di negara ini kebelakangan ini.

“Ahli politik cuma nak cari undi. Kalau orang Melayu yang majoritinya bermazhab Sunni bangkit dan kata, kami tak terima penganiayaan terhadap Syiah.

“Kalau rakyat Malaysia berkata begitu, esok, Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan perjuangkan Syiah,” kata pakar sosiologi itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada forum bertajuk “The Future of Ummah” di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di sini, hari ini.

Kata Syed Farid, persengketaan yang berlaku menjadi lebih rumit kerana sikap penganut Sunni, yang merupakan golongan majoriti di Malaysia, berdiam diri dan tidak mahu mengenali titik persamaan antara kedua-dua fahaman tersebut.

“Selagi kita diam, kita tak akan selesaikan masalah sengketa Sunni dan Syiah ini,” katanya.

Tambah beliau, masalah penganiayaan ke atas pengikut aliran Syiah di Malaysia khususnya pada bulan Muharram lepas kelihatan semakin menjadi-jadi.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan pandangan buruk terhadap Syiah yang dimomokkan oleh golongan agamawan yang membenci golongan itu.

Baru-baru ini, serbuan dibuat ke atas pengikut Syiah di Johor dan Selangor yang dikritik pelbagai pihak, termasuk Suhakam yang menyifatkan tindakan itu sebagai melanggar hak perlembagaan pengikut Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Bagaimanapun, kata Syed Farid, terdapat kerumitan untuk membebaskan masyarakat daripada pandangan buruk golongan agamawan dan ahli politik terhadap Syiah.

“Ini kerana golongan agamawan dan ahli politik yang ‘bodoh, jahat dan sombong’ ini masih dipuja,” katanya.

Sebelum ini Syed Farid memberitahu FMT, terdapat segelintir agamawan yang mengetahui tentang Syiah, tetapi mempunyai “niat jahat” dengan memperalatkan Syiah dalam permainan politik mereka.

“Demi perjuangkan hak Melayu, dia ingat dia mesti memperjuangkan Islam.

“Dalam konteks mereka, perjuangkan Islam adalah perjuangkan Sunnah. Jadi, nak perjuangkan Sunnah kena bantah Syiah,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.