
Pengerusinya Mazlan Bujang berkata calon tempatan memberi kelebihan kepada PH disebabkan mempunyai pengaruh dan rata-rata pengundi akan suka.
Beliau bagaimanapun berkata apa juga keputusan akan diputuskan dalam Majlis Presiden PH berikutan PPBM di peringkat negeri tidak ada kuasa menentukan calon.
“Kita ada nampak dua atau tiga calon yang berpotensi dan akan cadangkan ke peringkat pusat.
“Jika saya, saya nak orang tempatan sebab ada pengaruh dan di sana orang kenal supaya diterima dan tidak ada isu boikot-memboikot yang boleh mengurangkan pungutan undi,” katanya kepada FMT.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik.
Farid yang merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan naib ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 Sept lalu.
Kerusi Tanjung Piai secara tradisinya menyaksikan pertembungan MCA dan DAP, tetapi DAP menyerahkan kerusi itu kepada PPBM pada PRU14 yang menyaksikan Farid bertanding buat kali pertama dan memenangi kerusi tersebut.
Farid memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi, menewaskan penyandang dari BN, Wee Jeck Seng yang memperoleh 20,731 undi serta calon PAS, Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.
Mazlan yang merupakan Adun Puteri Wangsa berkata walaupun belum mengetahui parti mana yang akan dicalonkan PH, beliau berharap PPBM akan bertanding di Tanjung Piai.
Beliau berkata calon PH juga mestilah tidak mempunyai laporan salah guna kuasa atau kelakuan tidak senonoh yang boleh beri imej negatif.
“Tentang usia tak semestinya muda. Yang penting dalam pertandingan diterima orang ramai. Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad pun bertanding orang terima. Jadi calon tak kisah tua ke muda.
“Perlu menang kerusi Parlimen. Sebab calon PPBM beri impak imej kepada Mahathir yang dari PPBM,” katanya.
Sudah mula gerak kerja
Mazlan berkata buat masa ini, PPBM Johor sudah membuat kerja-kerja awal dengan mengumpul data pilihan raya berhubung dokumen pengundi baru.
Beliau berkata PPBM Johor juga sedang mengumpul data keputusan pilihan raya lepas dan membuat proses analisis.
“Kita sudah arahkan PPBM di peringkat bahagian Tanjung Piai buat kajian isu-isu semasa apa kehendak yang pengundi suka dan apa tak suka ikut kawasan,” katanya.
Mazlan juga menafikan beliau akan bertanding di Tanjung Piai sebaliknya berkata itu hanya propaganda untuk jatuhkan imejnya dan parti.
“Seolah saya nampak gila kuasa. Saya tak ada niat bertanding kerusi itu sebab kerusi itu kita boleh menang dengan syarat calon anak tempatan.
“Kita mempunyai kelebihan sebab kita kerajaan. Dulu bukan kerajaan,” katanya.
Mazlan berkata rekod baik Farid juga boleh membantu kemenangan PH di Tanjung Piai.
Beliau berkata banyak jasa Farid yang dibuat dan disenangi kerana sering turun padang.

“Banyak yang diperjuangkan dan kemudahan untuk rakyat yang diluluskan untuk dibangunkan.
“Saya difahamkan sudah lulus proses kontraktor iaitu membina empat balai raya, tiga buah padang, membaik surau,” katanya.
Mazlan berharap PRK Tanjung Piai kali ini tidak ada unsur mementingkan diri dan calon yang dipilih nanti diterima.
PH tak gentar BN
Mazlan juga berkata PPBM Johor tidak gentar dengan mana-mana calon pembangkang walaupun menyedari Farid menang tipis di Tanjung Piai.
Katanya, secara matematik memang diakui PH menang tipis tetapi kini PH sudah menjadi kerajaan dan ini memberi kelebihan kepada calon mereka.
“Dalam pilihan raya kita boleh gunakannya sebagai panduan, tetapi tidak semestinya benar, sebab masa itu kita belum jadi kerajaan.
“Ada orang atas pagar dapat bantuan daripada kerajaan akan mengundi kerajaan semasa.
“Jadi bukan kebarangkalian tetapi kemungkinan besar benda itu berubah,” katanya.
Mazlan berkata sama ada BN mengekalkan calon MCA atau meletakkan calon Melayu, ia tetap memberi kelebihan pada PH.
Mazlan berkata kalau BN letak calon MCA, beliau juga mahu lihat apa yang akan berlaku.
“Sebab kata penyatuan ummah, Melayu tetapi kalau letak calon MCA, PH letak calon Melayu, pengundi nak undi siapa.
“Kalau BN letak calon Melayu pengundi akan berubah juga sebab pengundi Cina dulu beri undi sebab letak calon MCA,” katanya.
Pada 14 Sept lalu, Umno dan PAS memeterai perjanjian kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu, kedudukan Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia juga termasuk persetujuan tidak bertanding menentang satu sama lain dan memperjuangkan kepentingan negara, tetapi ia tidak akan menafikan kaum serta agama lain.
Mazlan berkata sekiranya rakyat mahu perubahan, mereka perlu memberi masa kepada PH.
Katanya, rakyat tidak boleh samakan pencapaian yang baru dua tahun dengan 61 tahun pemerintahan BN.
“Dalam PH sekarang mementingkan integriti. Nak baiki negara rosak bukan senang macam nak baiki rumah yang rosak.
“Dengan hutang negara yang banyak dan kelemahan ditinggalkan kerajaan lalu menjadi cabaran kepada PH,” katanya.