Pemandu e-panggilan bantah caj pemeriksaan kesihatan RM80

Pemandu e-panggilan bantah caj pemeriksaan kesihatan RM80

Pada 20 Ogos, JPJ mengeluarkan pekeliling mengenai peraturan baru, termasuk berkaitan caj yang dikenakan.

Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia berkata, caj baru pemeriksaan kesihatan akan membebankan pemandu e-panggilan
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) meminta kerajaan membatalkan keputusannya menetapkan kadar pemeriksaan kesihatan kepada pemohon atau mereka yang membaharui lesen PSV kepada RM80 seorang.

Presidennya Daryl Chong berkata, beliau tidak nampak keperluan untuk tindakan tersebut kerana ia satu keputusan yang tidak polupar dan tidak perlu, terutamanya ketika kadar tambang e-panggilan pada masa ini tidak ditetapkan kadarnya.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 20 Ogos mengeluarkan pekeliling kepada Kementerian Kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai peraturan baru, yang antara lain menyemak semula panduan dan juga caj dikenakan.

“Berikutan peraturan baru ini, klinik panel memutuskan perkara itu dengan ada klinik bersedia mengenakan caj lebih rendah bagi membantu pemandu e-panggilan.

“Dalam usaha membantu pemandu kami di seluruh negara, MeHDA berjumpa banyak klinik sejak Mei 2019 bagi memohon untuk mereka hanya mengenakan RM20 bagi pemeriksaan kesihatan itu.

“Sebahagian besar mereka memberikan respons yang positif, dengan bayaran minimum RM20 untuk pemeriksaan kesihatan dan ini adalah kerana kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan arahan itu.

“Klinik ini yang merupakan panel kami dan tahu yang mereka tidak perlu membuat keuntungan atas perkara itu dan lebih kepada inisiatif CSR,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“Kami faham, keputusan kerajaan tersebut adalah bagi mengelakkan pihak yang mengenakan caj berlebihan, namun dengan menetapkan satu kadar standard, ia menyukarkan sesetengah daripada mereka yang mahu melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat. Selain itu ia juga membebankan pemandu,” katanya.

Daryl menegaskan MeHDA meminta kerajaan membatalkan arahan penetapan harga tersebut dan kembali kepada amalan sebelum ini, yang membenarkan klinik menetapkan kadar caj yang ingin mereka kenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.