Menteri: TDM akan ambil tindakan ke atas individu terlibat kematian Mejar Zahir

Menteri: TDM akan ambil tindakan ke atas individu terlibat kematian Mejar Zahir

Kementerian Pertahanan juga akan mengemas kini SOP berkaitan latihan jika ada keperluan.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, kementerian akan membawa permintaan keluarga Mohd Zahir berhubung inkues ke atas kematiannya ke peringkat lebih tinggi.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat dengan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga akan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan latihan, jika terdapat keperluan.

“Berhubung dengan permintaan keluarga agar inkues diadakan bagi mencari punca kematian Mohd Zahir, Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan ini ke peringkat yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan.

“Kementerian Pertahanan juga menyokong kenaikan pangkat Allahyarham kepada Leftenan Kolonel pada Majlis Angkatan Tentera ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 Sept lalu tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya juga dimaklumkan oleh Lembaga Siasatan TDM bahawa insiden tersebut sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia pada 4 Sept lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.