Luas perjuangan Burhanuddin Helmy tiada lagi dalam PAS, kata Syed Husin

Luas perjuangan Burhanuddin Helmy tiada lagi dalam PAS, kata Syed Husin

Sifat perjuangan PAS sekarang 'terlalu sempit' berbanding gerakan progresif dan nasionalisme agresif era Burhanuddin al-Helmy.

Bekas presiden PAS Dr Burhanuddin al-Helmy. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli politik veteran Syed Husin Syed Ali mengagumi PAS yang diperjuangkan bekas presiden PAS Dr Burhanuddin al-Helmy, mengatakan parti Islam itu di eranya ada sifat progresif dan nasionalisme yang agresif.

Bekas presiden Parti Rakyat Malaysia dan timbalan presiden PKR itu menambah, PAS zaman Burhanuddin mengiktiraf kedudukan sosial golongan masyarakat lain, agama lain dan kaum lain.

“Sekarang berbeza sama sekali, PAS sekarang sifat nasionalisnya kurang, sifat agamanya terlalu sempit,” katanya kepada pemberita di Universiti Malaya hari ini.

Syed Husin menyertai majlis memperingati 50 tahun Burhanuddin (1911-1969), anak kelahiran Perak yang digambarkan oleh penyelidik sebagai seorang nasionalis radikal dan pemikir Islam.

Sebelum PAS, guru bahasa Arab itu seorang pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebelum ia terbubar pada 1948, dan PAS bawah kepimpinannya (1956-1969) mempunyai kecenderungan menyokong kesatuan sekerja.

Ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965, Burhanuddin dipenjarakan selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan.

Diminta mengulas mengenai muafakat nasional yang dijalinkan PAS dan Umno, Syed Husin berkata langkah itu hanya menguatkan sifat kaum dan agama kedua-dua parti dan bukan kemajmukan rakyat.

“Dia kuatkan lagi sifat kemelayuan dan agamanya,” katanya, dan menarik perhatian kepada kumpulan penyokong bukan Islam dalam PAS.

“Ada tetapi tidak ada suara dalam parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.