Foodpanda naikkan upah, perkenal bonus, sistem syif

Foodpanda naikkan upah, perkenal bonus, sistem syif

Foodpanda mahu menambah pendapatan para penunggangnya dalam skim bayaran baru yang akan berkuatkuasa pada 30 Sept ini.

PETALING JAYA:
Perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda menaikkan upah setiap pesanan bagi penunggangnya dalam skim bayaran baru yang diumumkan hari ini.

Skim bayaran baru itu juga memperkenalkan bonus untuk jam bekerja dalam seminggu, dan upah tambahan untuk setiap pesanan bagi penghantaran dalam masa tertentu sehari.

Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Sayantan Das mengumumkan penghantar makanan akan dapat RM7 bagi setiap pesanan berbanding RM5 sebelum ini.

“Penunggang juga diberi insentif bonus RM100 apabila bekerja 60 jam seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, penunggang juga akan diberi tambahan upah RM1 setiap pesanan bagi semua pesanan antara 11 malam dan 9 pagi setiap hari.

“Penunggang juga akan terima tambahan bonus antara 30 Sept dan 6 Okt apabila mereka selesaikan sekurang-kurangnya 80 pesanan dalam tempoh itu,” katanya.

Kenaikan upah dan insentif lain ini diumumkan bersama sistem syif yang akan berkuat kuasa pada 30 Sept ini.

“Penunggang boleh memilih syif yang mereka ingin bekerja mengikut kesenangan mereka,” katanya.

Menurut Foodpanda, dengan kekuatan 12,000 penunggang di seluruh negara, sistem syif ini memberi keanjalan kepada penunggangnya untuk memilih bila dan di mana mereka bekerja.

Pada masa yang sama, sistem kelompoknya memastikan sentiasa ada slot mencukupi untuk penunggang yang mahu bekerja dalam syif tertentu.

“Sistem ini memastikan jumlah penghantaran yang tinggi tersedia untuk penunggang yang ingin bekerja lebih,” katanya.

Di samping itu, Foodpanda mengumumkan ia juga telah menaikkan kadar setiap pesanan untuk penunggangnya.

“Skim yang disemak semula ini membolehkan penunggang menjana lebih banyak pendapatan berdasarkan pesanan yang mereka terima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.