Saya nampak kesan luka dalam di muka CEO Cradle Fund, kata polis

Saya nampak kesan luka dalam di muka CEO Cradle Fund, kata polis

Anestassia Chin Fat mendapati seorang lelaki memakai seluar dalam sahaja terbaring di atas lantai berhampiran kaki katil.

Anestassia Chin Fat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
SHAH ALAM:
Penolong pegawai penyiasat dalam perbicaraan pembunuhan Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, dia mendapati luka di wajah dan kepala ketua pegawai eksekutif Cradle Fund itu selepas insiden kebakaran tahun lalu.

Anestassia Chin Fat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berkata, dia pergi ke rumah Nazrin di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018 selepas dimaklumkan polis terdapat satu mayat lelaki yang terbakar.

Katanya, dia bertugas pada hari itu dan bertanggungjawab terhadap kes yang dikendalikan balai polis Kota Damansara, Damansara dan Sri Damansara.

“Saya kemudian pergi ke bilik utama rumah tersebut iaitu tempat kejadian berlaku kebakaran dan nampak seorang lelaki memakai seluar dalam sahaja terbaring di atas lantai berhampiran kaki katil.

“Saya nampak ada kesan luka yang dalam di bahagian kepala mangsa, beberapa luka seperti seperti hirisan di bahagian muka mangsa,” katanya sambil menambah anggota bomba sudah berada di dalam bilik berkenaan ketika dia tiba.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah sama ada terdapat kecederaan lain, Anestassia berkata dia juga melihat kesan terbakar pada bahu kiri Nazrin.

Katanya, dia memanggil penyelianya, Ahmad Marzuqi dan memaklumkan kepadanya bahawa dia mahu mengklasifikasi kes Nazrin sebagai mati mengejut atau SDR pada mulanya.

Katanya, Halim, seorang bomba di lokasi kejadian memberitahu, mereka tidak dapat menentukan punca kebakaran dan sedang menunggu rakannya dari jabatan forensik tiba.

Menjawab soalan lain dari Asnawi siapa yang menutup jenazah Nazrin dengan selimut kuning, Anestassia berkata dia tidak tahu.

Dia juga berkata, dia bercakap dengan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, yang kelihatan tegang.

“Dia berkata dia tidak tahu mengenai kebakaran dan hanya tahu mengenainya apabila pengawal keselamatan kejiranan datang dan mengetuk pintu.

“Saya tidak mahu mengganggunya lagi kerana saya percaya dia dalam kesedihan,” katanya.

Samirah dan dua remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018, dengan seorang lagi suspek – warga Indonesia Eka Wahyu Lestari – yang masih bebas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman diteruskan pada 2 Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.