Putrajaya lantik 17 pemaju jual rumah PR1MA

Putrajaya lantik 17 pemaju jual rumah PR1MA

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, pelantikan itu bertujuan memastikan masalah lambakan rumah PR1MA dapat diselesaikan dan mengukuhkan kewangan PR1MA.

Zuraida Kamaruddin berucap pada majlis penyerahan dokumen perjanjian kerjasama 17 pemaju perumahan dengan Perbadanan PR1MA Malaysia di Subang Jaya, Selangor, hari ini.
SUBANG JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan 17 pemaju perumahan dibenarkan menjual unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), selepas perjanjian rakan kongsi kerjasama dengan Perbadanan PR1MA Malaysia diperbaharui.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan masalah lambakan rumah PR1MA dapat diselesaikan dan mengukuhkan kewangan PR1MA.

Selama ini, pemaju dan kontraktor hanya membina PR1MA serta menerima bayaran bulanan daripada PR1MA.

“Tujuh belas daripada 94 pemaju pada fasa pertama ini bersetuju terlibat dengan PR1MA. Mereka ini adalah pemaju yang menyelesaikan 90 peratus pembinaan projek di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Jika sebelum ini, mereka hanya dibenarkan membina rumah, tetapi kini mereka juga dibenarkan menjual untuk menampung 10 peratus lagi nilai projek yang perlu disiapkan.

“Semua rumah dijual di bawah RM300,000 dan dengan diskaun sebanyak 30 peratus, maka kebanyakan rumah dijual pada harga RM250,000,” katanya pada majlis penyerahan dokumen perjanjian kerjasama 17 pemaju perumahan itu dengan Perbadanan PR1MA Malaysia hari ini.

Zuraida berkata, peruntukan RM19 bilion yang disediakan kerajaan untuk membangunkan PR1MA hanya berbaki RM9 bilion sekarang.

“RM10 bilion wang diberikan Putrajaya sudah habis digunakan untuk pembangunan projek perumahan. Manakala bakinya kerajaan hentikan kerana mahu memfokuskan penjualan rumah, bukan pembinaan rumah lagi.”

Beliau berkata, pihaknya akan berunding dengan kira-kira 500 pembeli awal rumah mampu milik yang mahu menikmati 30 peratus diskaun pada bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.