
Bercakap kepada FMT, Zaid menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan memansuhkan undang-undang kontroversi itu dengan berkata, media sosial penuh dengan maklumat “palsu dan berbahaya”.
Kerajaan harus mampu menangani penyebar kebencian ini dengan cepat,” katanya dengan menambah, akta berkenaan boleh dimansuhkan kemudian apabila Putrajaya “mempunyai tawaran lain yang lebih baik”.
“Akan tetapi memansuhkannya sekarang tidak bertanggungjawab. Kita mesti mampu menangani mereka yang menggunakan kebebasan untuk merosakkan teras negara ini.”
Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, Putrajaya bercadang menubuhkan sebuah jawatankuasa khas parlimen bagi menyekat berita palsu di media sosial.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan menasihati kerajaan tentang cara untuk menangani isu berkaitan media sosial tanpa mengira sama ada Akta Antiberita Tidak Benar berjaya dimansuhkan dalam sidang parlimen akan datang atau tidak.
Usaha awal untuk memansuhkan akta berkenaan gagal selepas ia ditolak oleh Dewan Negara walaupun selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Baru-baru ini Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi amaran bahawa polis akan menangkap mana-mana orang yang didapati menyebarkan berita palsu berkaitan insiden tembakan di Batu Arang, Selangor atau kejadian amuk di Pulau Pinang.
Beliau berkata, berita palsu sedemikian boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.