
Inkues itu telah diadakan untuk menentukan punca kematian Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, susulan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lalu.
Adib meninggal dunia pada 17 Dis lalu, selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Seramai 30 saksi memberi keterangan dan 137 bukti dikemukakan kepada prosiding inkues yang bermula 11 Feb lalu di depan Koroner, Rofiah Mohamad dan disertai 12 peguam.
Ia termasuk keterangan daripada keluarga dan rakan sekerja Adib, saksi awam, anggota keselamatan, pakar serta kakitangan perubatan yang merawat Adib.
Inkues ini juga disifatkan sebagai satu-satunya prosiding yang menyaksikan banyak kejutan dan proses keterangan yang ‘panas’ sepanjang dua dekad lalu.
Bapa Adib yang juga saksi ke-23 inkues, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, memaklumkan anaknya pernah menyuarakan hasrat mahu pulang ke kampung halaman di Kuala Kedah untuk merawat kecederaannya.
Pada hari ke-18 inkues, seorang jururawat di IJN, Siti Syafikah Amiera memuat naik komen di Facebook berhubung kematian Adib. Bagaimanapun, dia kemudiannya memohon maaf kerana terlanjur membuat komen secara beremosi tanpa mengetahui cerita sebenar.
Pada 27 Mei lalu iaitu hari ke-37 inkues, mahkamah dikejutkan dengan pengumuman peguam, Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), susulan arahan Jabatan Peguam Negara ketika inkues itu hampir berakhir.
Thomas dilaporkan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa raya dan mempunyai konflik kepentingan kerana turut mewakili keluarga Adib.
Beberapa hari kemudian, Syazlin mengumumkan keputusannya untuk kembali mewakili keluarga Adib dalam prosiding itu manakala seorang timbalan pendakwa raya kanan akan mewakili KPKT dan JBPM.

Kejutan dalam inkues
Satu lagi kejutan dalam inkues Adib ialah dua saksi pakar memberi pandangan berbeza berhubung punca Adib cedera parah.
Saksi ke-24 yang juga pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dilaporkan berkata, tiada tanda atau kesan kecederaan yang menunjukkan Adib ditarik keluar dari van EMRS ketika rusuhan.
Dia mendakwa Adib keluar sendiri daripada van EMRS sebelum terlanggar pintu kenderaan itu lalu terhentak di permukaan kasar, luas dan menonjol.
Hujah itu bagaimanapun disanggah saksi ke-29 yang merupakan perunding kanan patologi forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang berkata, Adib ditarik keluar dari van EMRS dan dihentak pintu kenderaan itu dengan daya lebih 3,000 Newton sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di dada kanannya.
Koroner kemudiannya membenarkan saksi pakar fizik, Dr Amir Radzi Ab Ghani dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi keterangan sebagai saksi terakhir sebelum menamatkan prosiding pada 24 Julai lalu.
Perintah komital
Terdahulu, bapa Adib pada 16 Julai lalu memfailkan permohonan perintah komital terhadap Thomas yang didakwa menghina mahkamah menerusi satu afidavit dikeluarkan Jabatan Peguam Negara yang menyatakan punca kematian Adib sebelum koroner membuat keputusan.
Afidavit itu difailkan Jabatan Peguam Negara untuk menyokong satu permohonan bagi menghalang Syazlin yang mewakili KPKT dan JBPM, mengambil bahagian dalam inkues itu.
Mahkamah Koroner kemudiannya membenarkan permohonan komital yang difailkan bapa Adib diteruskan ke atas Thomas kerana keluarga Adib berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Thomas menukar notis rayuan jenayah kepada rayuan sivil berhubung prosiding komital itu dan mengarahkan perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner diteruskan pada 22 Nov ini.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Adib dilaporkan berkata, prosiding permohonan komital terhadap Thomas tidak mengganggu keputusan inkues kerana ia adalah dua perkara berbeza.
Tujuan inkues diadakan untuk menentukan punca kematian seseorang, tetapi keputusan inkues tidak semestinya boleh menentukan punca itu kerana majistret yang bertindak sebagai koroner dalam prosiding boleh membuat keputusan terbuka atau tidak dapat memutuskan punca kematian.
Contohnya, keputusan inkues kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.
Teoh ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di pejabat tingkat 14 bangunan sama pada 16 Julai 2009.
Prosiding inkues juga tidak berhak meletakkan tanggungjawab jenayah kepada mana-mana pihak.
Peguam mewakili keluarga Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab ketika dihubungi FMT menjangkakan satu dari tiga kemungkinan dalam keputusan inkues hari ini.
“Mungkin keputusan inkues pertama mengatakan Adib mati akibat kemalangan, kedua Adib mati akibat dipukul atau kebarangkalian ketiga keputusan ‘open verdict’.”
Katanya, kemungkinan untuk koroner memutuskan kematian Adib akibat dilanggar jentera bomba adalah tipis.
Sementara itu, bapa Adib berharap keputusan inkues akan berpihak kepada keluarganya, iaitu koroner memutuskan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah kerana dipukul.
“Kami berharap keputusan itu biarlah adil dan kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya kepada FMT semalam.