
Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, Genting Plantations Bhd ialah anggota Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) sejak 2006 dan melaksanakan kriteria mampan dalam semua operasinya, termasuk melaksanakan dasar itu.
Genting berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai respons kepada dakwaan Greenpeace mengenai krisis kebakaran hutan di Indonesia dan menyenaraikan cabang perladangan konglomerat itu antara 10 kumpulan utama dengan kawasan terbakar terbesar di Indonesia antara 2015 hingga 2018.
“Kami tidak dapat memberi kenyataan mengenai ketepatan data Greenpeace, tetapi berdasarkan peta Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, kawasan terbakar kebanyakannya di luar konsesi anak syarikat kami di Indonesia, PT Globalindo Agung Lestari.
“Selain itu, peta Greenpeace juga mungkin termasuk kawasan titik panas yang tidak dimiliki PT Globalindo Agung Lestari.”
Kumpulan itu bagaimanapun berkata, berdasarkan data dalaman 2016 hingga 2018, tanah PT Globalindo Agung Lestari seluas 6.8 hektar mengalami pembakaran dalam tempoh itu.
“Kami turut menyatakan kira-kira 203 hektar tanah milik komuniti mengalami pembakaran. Tanah ini ditanam dengan tanaman lain dan bukan kelapa sawit.”
Katanya, Genting Plantations mewujudkan sistem pemantauan titik panas satelit dan dron untuk membantu pengawasan pasukan peronda kebakaran dalaman.
Jika berlaku kebakaran, pasukan peronda kebakaran akan segera melaporkannya kepada polis tempatan dan Disbun Perkebunan, agensi perladangan tempatan yang disertakan bukti bergambar dan butir tindakan yang diambil dalam masa 24 jam.
“Pasukan bomba juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan masyarakat tempatan untuk memadamkan api dalam masa singkat.
“Selain itu, kami akan turut melaporkannya kepada RSPO melalui pemantauan titik panas kebakaran dalaman.”