
Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berkata, semua ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya.
“Kalau boleh, (kami) nak macam Adib (prosiding inkues bagi menentukan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada Nov tahun lalu).
“Saya rasa kecewa dan hampa dengan kenyataan tentera (darat). Kami (keluarga) tidak pernah diberitahu secara khusus apa kronologi sebenarnya kematian anak saya. Kami terkilan sebab tidak diberi penerangan lanjut.
“Punca kematian tidak diberitahu cuma dikatakan meninggal dunia sebab tertembak. Tertembak di mana, kita tak tahu…tiada khususnya.
“Bedah siasat ada dibuat, tapi tidak diterangkan. Katanya mati di hospital…kalau mati di situ (lokasi kejadian) pun kita tak tahu,” katanya selepas majlis tahlil untuk Zahir di sini, malam tadi.
Badul berkata, inkues itu juga dilihat boleh menjawab semua persoalan berkaitan punca kematian anaknya yang sering timbul dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang ingin tahu keadaan sebenar.
“Saya minta penerangan (mengenai kronologi kematian) yang jelas. Bagaimana dia kena tembak? Adakah sebab peluru tersasar? Sebab anak saya berdiri tak betul ke atau penembak tak konsisten tertembak? Kronologi itu yang kita mahu tahu.”
Tentera darat pada Khamis mengesahkan kematian pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan itu dibuat lembaga siasatan tentera darat yang mengklasifikasikan ia sebagai kejadian terpencil.
Zahir, 36, dilaporkan meninggal dunia pada 9.20 pagi 4 September lalu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan pada hari sama.
Allahyarham yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia lima bulan hingga sembilan tahun.