Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad meninggal dunia kira-kira pukul 11.53 pagi tadi.

Menurut Facebook rasmi Sang Gendang – Yazit Search, Allahyarham meninggal dunia di sisi keluarga dan sahabat di Hospital Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al Ayubi di Taman Melati untuk disolat dan dikebumikan di Raudatul sakinah Taman Selasih.
Perkara itu sudah dimaklumkan abangnya Zahid Ahmad lebih awal lagi apabila mendapati kesihatannya terus merosot dan doktor pakar berkata mesin pernafasannya akan dilepaskan pagi ini.
Yazit sebelum ini dilaporkan kritikal di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terpaksa menggunakan bantuan pernafasan.
Terdahulu, pemuzik berusia 57 tahun itu dikejarkan ke wad Urologi dan Nefrologi hospital berkenaan kira-kira 3 pagi Selasa lalu selepas mengadu sesak nafas.
Doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan otak (brain damage) berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.
Awal bulan September lalu arwah dikejarkan ke HKL kerana mengadu sesak nafas.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Ramlah Ahmad, 59, serta tiga cahaya mata iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]