
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, daripada jumlah itu, dana bagi pinjaman AS$500 juta dan AS$330 juta kepada PSI diperolehi daripada Syndicated Bridging Loan (pinjaman jangka pendek) bernilai RM2.5 bilion dengan Ambank serta Standard Chartered.
Ia berikutan kedua-dua bank itu yakin dengan kekuatan kewangan 1MDB yang ditanggung Menteri Kewangan (Diperbadankan) milik kerajaan Malaysia.
Shahrol berkata, beliau merasa tidak selesa kerana ia membabitkan pelaburan besar dan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low mencari jalan untuk PSI segera melaburkan kembali wang itu di Malaysia.
“Sekurang-kurangnya ia dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana banyak projek 1MDB di Malaysia sedang berjalan. Jho Low mengambil maklum dan memberitahu saya, beliau akan cuba membawa pulang duit itu.
“Saya banyak kali menekan beliau, namun beliau masih memberikan maklum balas sama sehingga saya mendapat berita mengenai isu 1MDB membabitkan PSI,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.
Katanya, beliau amat keliru kerana semua tranksaksi dibuat berdasarkan pelaburan antara kerajaan kepada kerajaan (G to G) dan disokong penuh Putrajaya melalui mandat perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
“Seingat saya, banyak perbincangan mengenai pelaburan dengan PSI diadakan oleh lembaga pengarah (BoD) 1MDB sejak 2010 lagi…boleh dikatakan BoD mahu pelaburan dengan PSI dibawa pulang untuk projek-projek tempatan,” katanya dalam perbicaraan kes Najib yang masuk harı ke-14.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, manakala semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.
Perbicaraan diadakan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.