Polis tahan 16 termasuk IS, rancang serang ahli politik Malaysia

Polis tahan 16 termasuk IS, rancang serang ahli politik Malaysia

Suspek yang ditahan juga aktif menyebarkan fahaman Salafi Jihadi dan IS, termasuk merancang melakukan serangan di Malaysia dan Indonesia.

Seorang daripada 16 suspek yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan dan merancang serangan ke atas ahli politik dalam operasi khas sejak 10 Julai hingga 25 September lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 16 individu disyaki terlibat dengan kegiatan militan, termasuk aktiviti pengganas IS ditahan polis dalam beberapa operasi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek itu terdiri daripada 12 warga Indonesia, tiga warga tempatan dan seorang warga India yang dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan militan “Sikhs for Justice” (SFJ).

“Kesemua suspek, antaranya ditahan di sekitar Sabah, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Suspek ditahan dalam operasi khas antara 10 Julai sehingga semalam,” katanya dalam sidang media khas ketua polis negara di Bukit Aman di sini, hari ini.

Suspek yang ditahan juga aktif menyebarkan fahaman Salafi Jihadi dan IS, termasuk merancang melakukan serangan di Malaysia dan Indonesia.

“Seorang suspek warga Malaysia yang ditangkap dari kumpulan sama merancang untuk melancarkan serangan ke atas ahli politik atas dakwaan mereka (ahli politik) menindas umat Islam dan membuat komen negatif kepada umat Islam.

”Suspek ditahan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas),” katanya.

Beliau berkata, ada di antara suspek itu turut membela individu dalam serangan bunuh diri di sebuah gereja di Jolo, selatan Filipina dan menyalurkan dana kepada pengganas Maute di negara jiran itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay. (Gambar Bernama)

Polis lumpuh sindiket penyeludupan manusia

Dalam perkembangan lain, polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan manusia yang melibatkan migran dari Myanmar ke Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas, Bukit Aman, Cheong Koon Kock yang hadir dalam sidang media sama berkata, dalam operasi dijalankan dari 22 hingga 25 September di 12 lokasi sekitar Lembah Klang, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang itu, 77 suspek ditahan, termasuk enam warga tempatan dan 71 warga Myanmar.

“Enam warga tempatan itu, termasuk ketua sindiket dan pembantunya, iaitu lima ejen pengangkut (transporter), manakala daripada 71 rakyat Myanmar, 66 merupakan migran yang diseludup dan lima ejen pengangkut.

“(Dengan tangkapan ini) kami percaya kami berjaya melumpuhkan sindiket untuk menjadikan Malaysia destinasi (penyeludupan manusia) yang dikesan sejak April 2019, dan merentas Malaysia, Myanmar dan Thailand,” katanya yang juga timbalan pengarah II Cawangan Khas, Bukit Aman.

Dalam operasi sama, seorang pengangkut ditembak mati pada 24 September setelah enggan memberikan kerjasama ketika tangkapan dibuat di Serdang sehingga memaksa polis melepaskan tembakan.

Tambahnya, sindiket itu turut dipercayai memiliki senjata api dan terlibat dalam pengedaran dadah.

Kesemua 11 warga tempatan dan Myanmar yang dipercayai mempunyai peranan dalam sindiket itu ditahan bawah Sosma, manakala 66 lagi migran Myanmar yang diseludup ditahan bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.