Pembeli asing tidak gugat pasaran hartanah tempatan, kata pemaju

Pembeli asing tidak gugat pasaran hartanah tempatan, kata pemaju

Rehda mengalu-alukan rancangan Putrajaya untuk mempromosi HOC kepada warga asing, selain menambah ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Presiden Rehda Soam Heng Choon (tengah) menunjukkan laporan kajian industri hartanah negara yang dikeluarkan hari ini.
PETALING JAYA:
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berkata, pembeli asing tertarik kepada kategori hartanah berbeza dan kehadiran mereka tidak akan memberi kesan ke atas pasaran hartanah yang disasarkan pembeli tempatan.

Rehda juga mengalu-alukan rancangan Putrajaya untuk mempromosi Kempen Pemilikan Rumahnya (HOC) kepada warga asing, selain menambah ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Mereka mempunyai produk berharga lebih satu juta (ringgit) yang mahu dilepaskan, dan tidak mampu dibeli rakyat tempatan.

“Percayalah ia tidak berlawanan dengan matlamat menjual rumah mampu milik hanya kepada rakyat negara ini,” kata presiden Rehda, Soam Heng Choon selepas menghadiri taklimat unjuran industri hartanah hari ini.

Soam berkata, Perbadanan Perumahan Negara yang kini tidak lagi wujud, sebelum ini merancang untuk mempromosi hartanah mewah kepada pembeli asing.

Katanya, hartanah yang tidak terjual untuk tempoh masa lama boleh ditawarkan kepada orang asing.

“Kerajaan di negara lain juga menjual hartanah mewah mereka kepada pembeli asing,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin baru-baru ini dikritik hebat berhubung pengumuman beliau tentang HOC yang menyasarkan pembeli asing.

Zuraida kemudiannya menjelaskan bahawa hanya rumah berharga RM1 juta ke atas akan dimasukkan ke dalam kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Soam mendedahkan bahawa 19,784 unit rumah bernilai RM14.65 bilion berjaya dijual oleh anggota Rehda di bawah HOC.

Beliau juga menolak dakwaan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan bahawa lebihan hartanah mewah tidak terjual adalah disebabkan pemaju tidak membina rumah yang dikehendaki pembeli biasa.

“Ahli perniagaan mana yang mahu menghasilkan produk yang tidak dikehendaki oleh pengguna?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.