Belanjawan 2020: Jomo syor langkah atasi tekanan global

Belanjawan 2020: Jomo syor langkah atasi tekanan global

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata satu daripada pendekatan utama itu ialah memastikan rakyat Malaysia dalam golongan B70 berbelanja lebih.

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata sistem percukaian yang lebih efektif akan menghasilkan perbezaan ketara bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu mempertimbang untuk mewujudkan langkah-langkah bagi mengatasi tekanan global yang menjejaskan Malaysia, menurut pakar ekonomi terkemuka.

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata satu daripada pendekatan utama itu ialah memastikan rakyat Malaysia dalam golongan B70 berbelanja lebih.

“Pendapatan tambahan bagi golongan kurang berada akan mendorong mereka untuk berbelanja. Anda memberikan lebih banyak wang kepada golongan kaya, namun mereka tidak akan membelanjakan lebihan wang.

“Namun, jika anda memberikan lebih banyak wang kepada orang kurang berkemampuan, mereka mungkin membelanjakan wang itu,” katanya dalam taklimat media mengenai Laporan Pembangunan dan Perdagangan tahunan, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) di sini.

Jomo yang juga Penasihat Penyelidikan Kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata sistem percukaian yang lebih efektif akan menghasilkan perbezaan ketara bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.

“Ketika ini, disebabkan hutang yang diwarisi kerajaan, dapat difahami bahawa lebih banyak hutang telah (dibuat). Berdasarkan keadaan serius yang berlaku di dunia ketika ini, saya berpendapat lebih penting untuk kita memastikan payung disediakan sebelum hujan,” katanya.

Jomo berkata terdapat banyak kaedah untuk menambah baik percukaian korporat berbanding hanya menukar kadar cukai.

“Sebagai contoh, sekiranya syarikat memperuntukkan pelaburan tambahan, anda mungkin memberikan mereka pelepasan cukai kerana mereka melabur dan meningkatkan kapasiti ekonomi negara.

“Pada asasnya, apa yang anda mahu ialah percukaian pintar. Anda mahu insentif ekonomi yang bermakna. Anda mahu memberi ganjaran kepada keusahawanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.