
“Backpacking” merupakan cara mengembara yang menjadi trend masyarakat kini.
Ia menjadi popular kerana tidak menggunakan kos yang mahal melainkan kos penerbangan, makan dan minum serta berjalan dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Cara ini mungkin sesuai untuk mereka yang bujang, dan melancong bersama rakan, namun tidak untuk mereka yang sudah berkahwin, aptah lagi mereka yang mempunyai anak!
Jika sudah berkeluarga, anda seharusnya perlu membuat perubahan dalam cara pengembaraan anda.
Ini kerana keluarga bukan suatu yang perlu anda perjudikan bagi memenuhi matlamat anda untuk “backpacking” dengan modal yang rendah.
Menceritakan tentang hal ini, telah tular seorang “kaki travel” yang mengembara bersama isteri dan bayi yang baru berusia beberapa bulan.
Kisah ini viral di laman sosial Twitter dan ia mendapat kecaman daripada netizen kerana membiarkan anak dan isteirnya tidur di kaki jalan setelah mengembara ke negara Eropah.
Ia bermula dari Poland, Itali, Kosovo-Montenegro, Austria, Perancis dan meneruskannya ke beberapa buah negara yang lain.
Menurut pengembara itu, ia bukannya disebabkan faktor kemiskinan tetapi ingin merasakan suatu yang “ekstrim”.
Persoalannya, adakah perbuatannya ini betul untuk dilakukan?
Hakikatnya, perbuatan tidur tepi jalan ini adalah sangat berbahaya kepada kesihatan bayi anda.
Si comel anda akan terdedah kepada cuaca yang terlalu sejuk atau terlalu panas sehingga mungkin menyebabkannya mengalami sakit seperti demam, selesema atau batuk.
Selain itu, bayi anda juga akan terdedah kepada gigitan serangga seperti nyamuk yang boleh menjadi punca penyakit bawaan vektor seperti malaria, chikungunya atau denggi.
Ini semua juga bukan hanya boleh menjejaskan kesihatan bayi, malahan juga kepada anda dan pasangan!
Dalam pada itu, ia juga sangat berbahaya buat keselamatan pasangan dan bayi termasuklah anda sendiri. Risiko dirompak, dicabul atau diculik adalah sangat tinggi.
Persoalannya, adakah duit atau keinginan anda untuk lebih “mencabar” itu lebih bernilai daripada kesihatan, keselamatan atau nyawa bayi dan pasangan anda?
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]