Turki minta Bangladesh sediakan tanah untuk bina kem Rohingya

Turki minta Bangladesh sediakan tanah untuk bina kem Rohingya

Turki meminta Bangladesh memperuntukkan tanah seperti yang lakukan untuk pelarian Syria di negara itu yang merupakan kem pelarian terbaik di dunia.

Etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar secara beramai-ramai dan paling banyak berakhir di Cox’s Bazar di Bangladesh. (Gambar Bernama)
WASHINGTON:
Turki berharap Bangladesh dapat memperuntukkan lagi tanah untuk membina kem pelarian Rohingya, lapor agensi berita Anadolu.

Bercakap pada mesyuarat mengenai Rohingya di luar sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata krisis Rohingya merupakan tragedi paling dasyat di dunia dan Turki memuji peranan dimainkan Bangladesh dalam menangani kebanjiran pelarian.

“Kami meminta Bangladesh memperuntukkan tanah seperti yang kita lakukan untuk pelarian Syria di Turki, yang merupakan kem pelarian terbaik di dunia,” kata Cavusoglu.

Lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar menuju ke Bangladesh ekoran tindakan tentera negara itu melancarkan serangan terhadap komuniti minoriti Islam pada Ogos 2017.

Rohingya digambarkan PBB sebagai orang paling teraniaya di dunia. Golongan minoriti Islam dibelenggu ketakutan akibat serangan yang semakin meningkat sejak puluhan terbunuh dalam keganasan perkauman pada 2012.

“Kami percaya masyarakat antarabangsa juga perlu memainkan peranan dengan lebih aktif untuk bersama berkongsi beban Bangladesh dalam mengurangkan masalah kem pelarian Rohingya,” kata Cavusoglu.

Menteri itu berkata sejak krisis tercetus, Turki memberi keutamaan kepada isu berkenaan dan turut menghulurkan bantuan kemanusiaan di Bangladesh dan Myanmar.

Turki berharap Myanmar mengambil langkah perlu bagi membolehkan Rohingya kembali ke negara asal mereka dengan selamat serta bermaruah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.