
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan forensik terhadap 12 kematian yang dilaporkan, empat mayat daripada kematian itu disahkan tidak berpunca dari keracunan logam berat, manakala lapan kematian mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak.
Beliau berkata beberapa sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan seperti ikan masin kering diambil untuk diuji kehadiran logam berat, mikroorganisma dan racun perosak.
“Hasil pemeriksaan mendapati sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, sungai dan telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik,” katanya pada sidang media hari ini.
Sambil menolak dakwaan punca kematian Orang Asli Kampung Koh berikutan kehadiran logam berat, Dzulkefly berkata walaupun ujian menunjukkan ada kehadiran logam berat, namun ia tidak sampai ke peringkat yang boleh membawa maut.
Dzulkefly berkata sebagai rumusan, wabak penyakit saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh yang berlaku pada 3 Jun hingga 10 Sept lepas berpunca daripada wabak demam campak.
“Faktor yang menyumbang kepada berlakunya wabak dan kematian demam campak adalah liputan imunisasi yang rendah, tahap nutrisi yang rendah dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.
“Cara hidup yang sering berpindah dan adat memasuki hutan akibat sakit atau kematian dalam kalangan orang Asli menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan, sehingga penyebaran jangkitan terus berlaku,” katanya.
Dzulkefly berkata tindakan kawalan dan pencegahan melibatkan pelbagai agensi telah dilaksanakan dan diteruskan kepada komuniti terlibat.
Antaranya pendidikan kesihatan berkaitan kebersihan, keselamatan makanan, pemakanan, kepentingan imunisasi, pencegahan penyakit dan kepentingan mendapatkan rawatan awal.
Di samping itu, katanya langkah berkaitan kesihatan awam seperti memastikan keselamatan air minum, pemakanan komuiti dan kempen imunisasi turut dilaksanakan secara berterusan kepada Orang Asli yang terjejas.