Polis minta bantuan kesan isteri lelaki mati ditembak di Rawang

Polis minta bantuan kesan isteri lelaki mati ditembak di Rawang

Polis sedang menyiasat rakaman CCTV menunjukkan wanita dipercayai G Moganambal meninggalkan elevator pangsapuri pada malam kejadian berbalas tembakan.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin (tengah) ketika sidang media IPK Serdang.
PUCHONG:
Polis meminta orang ramai termasuk media untuk tampil membantu pihaknya mengesan Moganambal Govindasamy iaitu isteri kepada seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati di Batu Arang, Rawang pada 14 Sept lalu.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata polis masih menjalankan siasatan dan mengenal pasti wanita berusia 35 tahun itu yang dilaporkan hilang dan belum ditemui.

“Masih dalam siasatan lagi. Saya seru pihak media cuba ‘publish’ muka perempuan itu untuk minta bantuan. Di mana masyarakat yang melihat tampil kepada polis.

“Saya nak siapa yang kenal ataupun mereka terlibat tampil ke depan untuk bantu pihak kami. Saya dan pihak kami pun nak tahu juga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Pada 18 Sept lepas, Noor Azam mengesahkan dua daripada tiga individu yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Batu Arang merupakan ahli kongsi gelap 08.

Noor Azam turut menafikan dakwaan Moganambal berada dalam kereta Volkswagen Polo dinaiki tiga lelaki yang ditembak mati selepas dikejar polis.

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita, yang dikenal pasti sebagai Moganambal Govindasamy, yang dikatakan hilang selepas kejadian berbalas tembakan pada 14 Sept.

Beliau juga berkata polis sedang menyiasat rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita dipercayai Moganambal yang meninggalkan elevator di pangsapuri The Henge di Kepong pada 10.33 malam pada 13 Sept.

Katanya, polis sedang mengenal pasti individu dalam rakaman CCTV tersebut.

“Kita nak kenal pasti siapa dalam lif itu. Adakah kawan dia atau orang sebaliknya atau orang biasa-biasa.

“Sebab saya lihat dalam Free Malaysia Today (FMT), dia katakan ada beberapa atau 4 orang dalam lif itu.

“Tetapi saya tengok dalam lif itu tak macam ugutan berlaku terhadap kedua-dua mangsa tersebut. Tengok macam biasa sahaja,” katanya.

Bukan sewenang-wenang lepas tembakan

Dalam pada itu, Noor Azam menegaskan polis bukan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan, sebaliknya menegaskan mahu memastikan keselamatan terjamin.

Beliau berkata polis juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan mana-mana pegawai yang melanggarnya akan diambil tindakan.

“Bila mereka cabar, kami lepaskan tembakan, kami terpaksa pertahankan diri.

“Kalau boleh nak tangkap hidup-hidup. Apabila tangkap kami dapat maklumat lagi.”

Beliau juga menegaskan, mana-mana pihak yang salah akan diambil tindakan.

“Mana tidak salah, kita akan pertahankan kita punya ‘officer’ juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.