
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil langkah seterusnya.
“Arahan sudah dikeluarkan, kami sedang dapatkan khidmat menganalisis kandungan video tersebut.
“Untuk jalankan siasatan dalam kes sebegitu tinggi sudut teknikal bukan senang, sebagai IGP (ketua polis negara) saya tidak ada kepakaran itu,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian hari ini.
Hamid berkata, polis sedang mengumpul pandangan daripada entiti lain yang mempunyai kepakaran sama.
“Hanya selepas itu kami akan bawanya ke mahkamah dan kemuka semua bukti yang kami ada.”
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi ia dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Polis kemudian mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas forensik yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain untuk menentukan ketulenan video seks itu.
Susulan itu, Hamid pada 18 Julai lalu mengumumkan analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.