KPN mahu inkues kes tembak mati di Rawang secepat mungkin

KPN mahu inkues kes tembak mati di Rawang secepat mungkin

Hamid Bador berkata inkues perlu segera dijalankan bagi mengelakkan isu terus dieksploitasi orang-orang tidak bertanggungjawab.

SHAH ALAM:
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mahu inkues ke atas kejadian tembak mati di Rawang baru-baru ini dijalankan segera bagi mengelakkan isu itu “terus dieksploitasi oleh orang-orang tidak bertanggungjawab”.

Hamid berkata inkues wajar dibuat selepas pihak forensik selesai melakukan bedah siasat dan laporannya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau tidak boleh memaksa jabatan-jabatan berkenaan mengeluarkan laporan kerana mereka juga perlu patuhi tatacara operasi standard.

“Bila sudah selesai saya tidak mahu tunggu lagi. Saya minta supaya inkues ini dijalankan segara…supaya keadilan dapat diputuskan dalam inkues,” katanya pada sidang media selepas forum di Karangkraf hari ini.

Pada 23 Sept lalu, muncul rakaman CCTV memaparkan seorang wanita yang kehilangannya diperkatakan selepas kejadian tembakan pada 14 Sept itu.

Peguam keluarga berkata rakaman itu menunjukkan Moganambal Govindasamy bersama tiga lelaki terbabit beberapa jam sebelum kematian mereka.

Polis Selangor menafikan terdapat seorang wanita dalam kejadian tembakan itu.

Hamid hari ini mengesahkan sebanyak tujuh laporan polis dibuat sehingga pagi tadi dan polis sudah membuka tiga kertas inkuiri.

“Kita dapati masa rakaman pada 10 malam. Kejadian berlaku pada 5.30 pagi. Jadi pada yang berlaku antara waktu itu menjadi persoalan,” katanya.

Suami Moganambal, V Janarthanan, seorang warga Sri Lanka, dan Thavaselvan Govindasamy, adik kepada Moganambal, dan Maghendran Santhira Segaran ditembak mati.

Polis berkata mereka enggan berhenti apabila diarah berbuat demikian di Bandar Country Homes, Rawang sebelum kejar-mengejar sejauh 7km yang berakhir di Batu Arang.

Bapa Moganambal, Govindasamy mendakwa anak perempuannya berkata tiga lelaki berkenaan semasa kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.