
Zuraini Ab Hamid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata Malaysia perlu mengikuti langkah Indonesia dan Korea Selatan agar pesalah seksual tidak mengulangi jenayah itu.
“Kita bimbang jika pesalah seksual akan lakukan jenayah lain dan mengulangi kesalahannya. Bukan bertujuan mandulkan pesalah tetapi mengurangkan hormonnya,” kata beliau pada Seminar Mengenal Pasti Strategi Menangani Isu Pedofilia Kanak-Kanak di UIAM hari ini.
Beliau berkata beberapa ciri tertentu perlu dilihat sebelum melaksanakan hukuman itu.
Indonesia meluluskan undang-undang hukuman kembiri terhadap pesalah jenayah seksual kanak-kanak pada 2016 selepas kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun di Bengkulu, Sumatera.
Hukuman kembiri pernah ditimbulkan di Dewan Rakyat pada 2016 ketika wakil-wakil rakyat membincangkan akta bagi menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Timbalan menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat ketika itu, Azizah Mohd Dun berkata pihaknya terbuka untuk membincangkan dan membawa cadangan hukuman itu kepada jawatankuasa berkaitan.