Indonesia, Jepun meterai perjanjian projek kereta api laju RM16 bilion

Indonesia, Jepun meterai perjanjian projek kereta api laju RM16 bilion

Projek akan dibahagikan kepada dua fasa, pertama antara Jakarta dan ibu kota Jawa Tengah, Semarang manakala yang kedua antara Semarang dan Surabaya, ibu kota Jawa Timur

Model kereta api laju bakal digunakan Indonesia. Presiden Joko Widodo sebelum ini berkata beliau menjangkakan projek itu akan bermula tahun depan. (Gambar Tempo)
HANOI:
Indonesia dan Jepun pada Selasa menandatangani perjanjian untuk projek kereta api laju yang menghubungkan Jakarta dan Surabaya, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Selepas dua tahun rundingan, kedua-dua negara bersetuju untuk menggunakan ciri khas berbanding standard biasa untuk membolehkan pembinaan landasan kereta api dapat disesuaikan dengan keadaan tanah di kawasan padat dan mempunyai pelbagai rangkaian di pulau Jawa itu.

Di bawah perjanjian itu, projek akan dibahagikan kepada dua fasa, pertama antara Jakarta dan ibu kota Jawa Tengah, Semarang manakala yang kedua antara Semarang dan Surabaya, ibu kota Jawa Timur, masing-masing sejauh 436 kilometer dan 284 kilometer.

Nilai pelaburan awal projek itu dianggarkan sekitar 60 trilion rupiah (kira-kira AS$4.2 bilion).
Dalam temu bual dengan Kyodo News Jepun beberapa bulan lalu, Presiden Joko Widodo berkata beliau menjangkakan projek itu akan bermula tahun depan.

Agensi Penilaian dan Penerapan Teknologi Indonesia meramalkan 12.4 peratus penumpang penerbangan antara kedua-dua bandar, kira-kira lapan juta tahun lalu, akan beralih kepada perkhidmatan kereta api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.