
Menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata bank mestilah tidak dibenarkan untuk mengambil untung lebih daripada pelanggan dengan melaksanakan “dasar yang tidak adil”.
“Kami meminta agar BNM menghentikan daripada membenarkan bank mencekik darah pelanggan mereka memandangkan mereka sudah pun mengaut keuntungan berbilion,” kata Presiden Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan.
CAP berkata bank tertentu dilaporkan telah mengumumkan caj tersebut akan dikenakan bermula 1 Oktober ini, tetapi pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu pada Mei.
Menurut Mohideen, pegawai bank dalam kes itu memberitahunya ia dasar baru bank berkenaan dan jika tidak mahu membayar bayaran transaksi itu, maka mereka perlu memilih perbankan dalam talian.
“Kami menulis kepada BNM untuk menyatakan bantahan…serta mempersoalkan kenapa mereka membenarkan bayaran ini.
“Setakat ini tiada maklum balas daripada BNM berhubung perkara ini,” katanya.
Mohideen berkata kegagalan memberi jawapan membawa maksud persetujuan secara diam-diam terhadap dasar baru bank itu.
Beliau menambah CAP kecewa dengan kurangnya perhatian terhadap kebajikan rakyat yang ditunjukkan BNM.
“Ini bukanlah pertama kali kami membawa isu pelaksanaan dasar yang tidak adil oleh bank kepada BNM,” katanya.