
Beliau mendapati masalah itu berpunca daripada dasar yang diwarisi dari zaman penjajah dan undang-undang Tanah Rizab Melayu yang mengehadkan penggunaan tanah.
“Petani tidak dapat tanam tanaman lain, selain padi. Ini seolah-olah konspirasi untuk mengikat pekebun kecil, penanam padi untuk terus menanam padi,” katanya ketika membentangkan kertas kerjanya di Seminar Kemiskinan di Malaysia, di Parlimen hari ini.
Jomo berkata, ketika ini, 90 peratus sektor pertanian negara terdiri daripada tanaman kelapa sawit dan getah, manakala selebihnya membabitkan tanaman lain, termasuk padi.
“Walaupun penanaman padi disubsidikan lebih 60 peratus oleh kerajaan, kita dapati subsidi input seperti baja dan sebagainya yang dibekalkan syarikat gergasi antarabangsa tidak beri kesan.
“Yang beri kesan ialah apa yang dikatakan subsidi harga, di mana harga ditukar ke paras lebih tinggi daripada harga dunia.”
Jomo yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, menyarankan kerajaan membantu petani meningkatkan pendapatan mereka dengan menggunakan hasil tanaman sebagai bahan mentah dalam program makanan percuma di sekolah.
Selain program sarapan percuma, beliau berharap kerajaan boleh menggunakan hasil tanaman petani untuk Dasar Keselamatan Makanan Negara dan memperkenalkan program makan tengah hari di sekolah.
“Skim makanan percuma di sekolah dapat ubah pendapatan golongan petani, bekalan yang dikeluarkan petani, kita ambil termasuk hasil daripada penanam padi, bukannya mengutamakan syarikat makanan gergasi.”
Beliau berkata, Putrajaya juga perlu menangani masalah antara kementerian yang tidak bekerjasama antara satu sama lain untuk menyelesaikan isu ekonomi negara.
Pada 26 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dilaporkan berkata, kerajaan akan menyediakan sarapan percuma kepada semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara mulai Januari depan.
Katanya, program itu bertujuan memastikan pelajar dapat mengamalkan pemakanan seimbang dan kekal sihat serta cergas untuk membantu mereka memberi tumpuan dalam pelajaran.