Nahas 737 MAX: Boeing tawar pampasan RM208 juta

Nahas 737 MAX: Boeing tawar pampasan RM208 juta

Ahli keluarga tidak perlu melepaskan hak untuk memfailkan kes. Tuntutan mesti ditandatangani tidak lewat 31 Disember, kata pengendali dana nahas.

Enjin turbin pesawat Lion Air JT610 dinaikkan dari dasar laut 4 Nov 2018. Ia antara dua nahas udara membabitkan pesawat 737 MAX keluaran Boeing. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Boeing akan membayar setiap keluarga 346 orang yang terbunuh dalam dua nahas membabitkan pesawat 737 MAX sebanyak RM603,000 (AS$144,500) daripada dana bantuan kewangan RM208 juta (AS$50 juta).

Dana yang diselia peguam-peguam dari Washington, Ken Feinberg dan Camille S. Biros, dijangka menerima tuntutan daripada ahli keluarga dengan kadar segera.

Ahli keluarga tidak perlu melepaskan hak untuk memfailkan kes. Tuntutan mesti ditandatangani tidak lewat 31 Disember, kata dana itu.

Penggunaan pesawat 737 MAX ditangguhkan sejak Mac susulan nahas udara di Ethiopia dan Indonesia.

Dunia menyaksikan dua nahas melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8 dalam tempoh lima bulan, sekali gus mengusarkan industri penerbangan. Pesawat milik Ethiopian Airlines telah jatuh pada 10 Mac 2018 mengorbankan 157 penumpang manakala Oktober lalu, jenis pesawat yang sama milik Lion Air juga jatuh di Laut Jawa hingga mengorbankan 189 penumpang.

Dalam e-mel yang dihantar kepada Reuters pada Isnin, Feinberg berkata “mencari semua ahli waris dan memastikan dana itu selamat dan terjamin akan menjadi cabaran sebenar memandangkan keluarga terbabit ada di 35 negara.”

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg berkata syarikat itu terus berkongsi “simpati yang mendalam dengan keluarga dan orang tersayang mangsa nahas berkembar ini”.

“Pewujudan dana ini merupakan langkah penting dalam usaha kami membantu keluarga yang terjejas,” katanya.

Boeing juga mengumumkan pada bulan Julai ia merancang untuk membelanjakan tambahan RM208 juta (AS$50 juta) untuk menyokong pendidikan dan pemberdayaan ekonomi masyarakat yang terjejas.

Hampir 100 tindakan undang-undang telah difailkan terhadap Boeing oleh sekurang-kurangnya sedozen firma guaman mewakili keluarga mangsa nahas Airlines Ethiopia, yang berada di 35 negara, termasuk sembilan warga AS dan 19 rakyat Kanada.

Keluarga kira-kira 60 mangsa belum mengemukakan tuntutan undang-undang tetapi peguam plaintif berkata mereka menjangkakan lebih banyak akan tampil berbuat demikian.

Kebanyakan tuntutan undang-undang tidak membuat tuntutan jumlah tertentu, walaupun satu firma undang-undang mengatakan kliennya menuntut lebih RM4 bilion (AS$1 bilion).

Tindakan undang-undang itu menegaskan Boeing telah mereka bentuk sistem kawalan penerbangan automatik yang cacat. Sistem ini dipercayai menjadi punca kemalangan.
Boeing berkata ia berhasrat untuk mendapatkan kelulusan untuk meneruskan penerbangan awal pada suku keempat tahun ini.

Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS Steve Dickson memberitahu Reuters minggu lalu ia tidak jelas bila Boeing akan dapat melakukan penerbangan ujian persijilan.

Bagaimanapun beliau berkata agensi itu harus meluluskan pengembalian kapal terbang kira-kira satu bulan selepas penerbangan ujian kecuali sesuatu yang tidak diduga berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.