Kacang putih pendapatan sampingan, kini berkembang ke luar negara

Kacang putih pendapatan sampingan, kini berkembang ke luar negara

Golongan wanita mempunyai kekuatan tersendiri dalam menguruskan bisnes, adakalanya lebih baik dari lelaki.

Jika dulu kita melihat beberapa individu yang berjaya dalam dunia perniagaan di monopoli golongan lelaki, namun tidak lagi pada zaman sekarang.

Ramai wanita ketika ini berjaya dalam bidang yang sama, namun mempunyai cara yang berbeza.

Dengan kekuatan yang ada, wanita juga mampu mengembangkan bisnes kecil-kecilan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Umumnya, kebanyakan wanita memilih bidang kecantikan sebagai platform untuk mereka berjaya.

Namun sedikit berbeza bagi seorang wanita ini yang menggunakan kemahiran sejak kecil dan kini mampu mengeksport pasaran sehingga ke luar negara.

Buvaneswary Jayabalan, 29 tahun memiliki kemahiran seawal usia tujuh tahun dengan mengikuti bapanya menjual kacang putih.

Katanya kepada FMT, beliau pada asalnya kagum melihat semangat bapanya menjual makanan ringan India kepada pelanggan.

“Saya telah bekerja dengan ayah saya sejak usia yang sangat muda. Setelah saya pulang dari sekolah, saya akan membantu membungkus produk, saya juga membantu dari segi pengeluaran.

“Apabila pelanggan datang ke rumah kami untuk membeli muruku, saya pernah menulis bil-bil walaupun saya berumur tujuh tahun,” katanya.

Perniagaan tersebut telah dimulakan bapanya Jayabalan Chinnasamy sejak 1963 di Buntong, Ipoh di kawasan yang dipanggil Kampung Kacang Putih.

Kini bisnes tersebut diteruskan dengan menggunakan kemahiran Buvaneswary sendiri.

Tambahnya, bapanya juga merupakan seorang peladang dari India, yang dibawa oleh British pada tahun 1920-an untuk membantu membersihkan tanah di Tanah Melayu.

Mereka kemudiannya mendirikan rumah di bukit Batu Kapur, Gunung Cheroh dan mula membuat dua jenis kacang putih untuk menambah pendapatan mereka.

“Kami membuat perniagaan di Gunung Cheroh secara kecil-kecilan, tetapi setelah Gunung Cheroh runtuh, seluruh kampung berpindah ke Buntong.

“Kemudian, kami memulakan perniagaan eksport. Pada mulanya, kami mengeksport produk kami di dalam negara iaitu Johor, Melaka, KL, Perlis, sekarang kami mengeksport ke Australia juga,” jelasnya lagi.

Kini, Buvaneswary berkata kedainya kini menjual lebih dari 40 jenis kacang putih, menggunakan resipi yang dibuat sendiri oleh bapanya.

“Kari Muruku, Kalistar, Ramba, Star, Omapudi adalah resipi bapa saya, sebab itu apabila pelanggan datang dan membeli produk kami, mereka akan kata rasanya berbeza dengan kedai muruku lain,” ujarnya lagi.

Usahawan yang berkelulusan Kolej Unitar dalam bidang pengurusan bisnes optimis beliau mampu dan bersedia untuk pergi lebih jauh dalam dunia perniagaan.

“Daripada bekerja untuk orang lain, kita boleh menjalankan perniagaan sendiri, saya percaya semua orang boleh menjadi usahawan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.