
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata kempen yang akan diadakan minggu depan itu menggambarkan komitmen kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti.
“Saya amat berharap golongan B40 ambil kesempatan untuk buat permohonan dan mereka boleh dapatkan khidmat nasihat kewangan dari wakil bank terlibat,” katanya pada majlis pra pelancaran Kempen HOC hari ini.
Media dimaklumkan 32 pemaju akan terlibat dalam kempen “Affordable Home For You” mulai 4 hingga 6 Oktober ini yang menawarkan 10,577 unit rumah berharga RM300,000 ke bawah.
Zuraida berkata, sebanyak 7,177 unit rumah itu dibina pemaju swasta, manakala 3,400 unit lagi daripada agensi kerajaan dengan sekurang-kurangnya 80 peratus rumah itu yang berjumlah RM1.6 bilion akan dijual dalam masa tiga hari.
Ditanya sama ada kerajaan akan menganjurkan HOC pada tahun depan, beliau berkata, pihaknya akan meneliti cadangan itu.
“Tak pasti nak lanjut sampai 2020 atau tidak. Kita akan kaji sama ada wujud keperluan nak lanjut atau tidak.”
HOC dilaporkan akan berakhir Disember tahun ini.
Baru-baru ini, Zuraida dikritik mengabaikan kebajikan rakyat kerana mencadangkan HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan lambakan rumah mewah bernilai RM1 juta ke atas.
Pada 16 September lalu, Zuraida dilaporkan berkata, cadangan penganjuran kempen menjual rumah mewah kepada pembeli antarabangsa sebahagian usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara serta membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik.