Peguam: Mayat lelaki mati ditembak ditanam kerana belum terima laporan bedah siasat

Peguam: Mayat lelaki mati ditembak ditanam kerana belum terima laporan bedah siasat

Isteri G Thavaselvan, Jasminder Kaur bertegas suaminya dipukul sebelum mati.

KUALA LUMPUR: Peguam kepada keluarga seorang lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Batu Arang, Rawang di Selangor awal bulan ini berkata mayat G Thavaselvan akan ditanam kerana pihaknya belum terima laporan bedah siasat.

Perkara itu dimaklumkan P Uthayakumar kepada pemberita selepas upacara kematian di sebuah unit pangsapuri di Kepong hari ini.

Sementara itu, isteri Thavaselvan, Jasminder Kaur, 31, bertegas suaminya, salah seorang daripada 3 yang ditembak mati polis dalam kejadian pada 14 Sept lepas itu, dipukul sebelum mati.

Semalam, Uthayakumar berkata selepas mayat Thavaselvan dibawa pulang dari rumah mayat Hospital Sungai Buloh, dia dimaklumkan terdapat kesan lebam pada kepala dan badan, satu tangan patah dan satu gigi patah.

“Mereka harus buat inkues. Anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” kata Jasminder selepas upacara kematian hari ini.

“Anak-anak kakak ipar saya – bapa mereka mati. Ibu mereka hilang. Apa yang polis buat? Tidak ada apa-apa. Mereka asyik panggil kami beri keteringan, berapa banyak keterangan yang mereka mahu?”

Jasminder mempertahankan keterangannya kepada media dan polis sebelum ini.

“Dari hari pertama keterangan kami tidak berubah. Tetapi di pihak polis, kenyataan mereka berubah-berubah. Mereka beri macam-macam jenis cerita,” katanya.

Thavaselvan, SS Mahendran, dan seorang warga Sri Lanka, V Janarthanan dikatakan ditembak mati di KM22 Jalan Batu Arang, Rawang pada 5 pagi 14 Sept selepas dikejar polis sejauh 7km.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata polis mempertahankan diri apabila diserang oleh mereka yang bersenjata api dan parang.

Polis Selangor berkata Thavaselvan dan Mahendran ahli kongsi gelap 08, yang dinafikan Jasminder.

“Mereka cemar nama baiknya. Kamu ada di sini, ada kamu nampak ahli kongsi gelap?” katanya, merujuk kepada unit pangsapuri di mana upacara kematian diadakan.

Jasminder menggesa isteri Janarthanan, Moganambal Govindasamy, pulang. Keluarga wanita itu mendakwa dia berada dalam kereta itu bersama tiga lelaki terbabit.

Polis menafikan dakwaan itu, mengatakan tiada wanita dalam kereta terbabit semasa kejadian.

“Apa yang patut kami beritahu pada anak-anaknya?” kata Jasminder.

Jasminder berkata polis sepatutnya membawa Thavaselvan ke mahkamah jika suaminya ada melakukan kesalahan.

“Bukannya tembak dia macam itu sahaja. Sekarang siapa akan tanggung pendidikan anak-anak kami? Siapa akan tanggung perbelanjaan kami? Siapa akan jaga ibunya yang sakit?”

Jasminder berkata peristiwa itu berlaku 10 hari lalu tetapi pihaknya belum terima sebarang perkembangan terkini.

“Kami mahu keadilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.