
Seminggu yang lalu, kita menyaksikan pemeteraian kerjasama politik secara formal antara dua parti pembangkang terbesar di negara ini, iaitu PAS dan Umno.
Sebagai tanda komitmen mereka terhadap gabungan ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengisytiharkan partinya tidak akan bertanding melawan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula berharap penyatuan ini “tidak terputus di tengah jalan” dan “hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selama-lamanya”.
Namun, adakah gabungan ini benar-benar boleh berjaya memandangkan kedua-dua parti ini merupakan musuh sengit selama enam dekad?
Muafakat perkauman berasaskan fitnah
Tampaknya jelas kerjasama antara PAS dan Umno ini bertujuan menghimpunkan sokongan orang Melayu semata-mata bagi menentang Pakatan Harapan yang kini menjadi parti pemerintah.
Mereka tidak berminat memupuk sokongan rakyat Malaysia yang lebih inklusif dengan menawarkan agenda pembangunan lebih baik kepada negara ini. Sebaliknya, sentimen perkauman berasaskan fitnah yang menjadi modal mereka.
Contohnya, sentimen yang cuba dibangkitkan melalui dakwaan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob bahawa pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), termasuk pensijilan halal kini terletak di bawah seliaan Kementerian Kewangan yang dipimpin seorang menteri DAP berketurunan Cina.
Sebagai bekas menteri, Ismail Sabri tentunya sedar kenyataan itu tidak benar dan langsung tidak logik, namun begitulah tahap terdesaknya mereka.
Terbaru, Hadi membuat tuduhan melulu terhadap DAP dengan mendakwa ia kuasa “paling besar” dalam kerajaan persekutuan pimpinan PH yang ingin “mengumpul kekayaan untuk orang Cina saja, bukan untuk semua”.
Tindakan PAS dan Umno menabur fitnah demi mengapi-apikan sentimen orang Melayu jelas membuktikan kerjasama itu adalah cubaan terdesak untuk menghidupkan kembali kerelevanan politik kedua-dua parti itu, bukannya untuk kemaslahatan mana-mana bangsa atau rakyat Malaysia secara amnya.
Musuh tradisi dengan sejarah pahit
Hakikatnya, PAS dan Umno merupakan musuh tradisi yang bersaing untuk demografi pengundi sama. Di mana Umno bertanding, di situ PAS akan beradu dan sebaliknya.
Walaupun kedua-dua parti itu mencapai kesefahaman sejak sebelum PRU lalu, mereka masih bertembung di hampir semua kerusi yang ditandingi.
Apakah selepas ini mereka akan tiba-tiba bersetuju bukan saja untuk berkempen bersama, tetapi juga mengagihkan kerusi secara adil antara kedua-dua parti? Bagaimana pula dengan penerimaan ahli akar umbi masing-masing yang harus dikorbankan demi cita-cita politik pemimpin?
PAS dan Umno bukan kali pertama mereka bekerjasama secara rasmi. Pada awal 1970-an, PAS di bawah kepimpinan Asri Muda membuat keputusan untuk menyertai gabungan BN yang baru diwujudkan ekoran keputusan PRU 1969 yang kurang memberangsangkan bagi kerajaan pimpinan Parti Perikatan.
Namun, keahlian PAS dalam BN hanya mampu bertahan sepenggal saja. Walaupun berjaya mewujudkan kerajaan gabungan bersama Umno di Kelantan pada PRU 1974, pertelagahan politik antara PAS dan Umno di negeri itu mengakibatkan pengisytiharan darurat dan akhirnya pengambilalihan kuasa oleh kerajaan persekutuan.
Setelah menyedari mereka ditikam belakang, PAS bertindak menarik diri daripada BN pada 1977. Namun, ia sudah terlambat dan natijahnya, PAS mengalami kekalahan teruk pada PRU 1978, termasuk di Kelantan.
Sejak itu, PAS dan Umno kekal bermusuhan sehingga terbentuk Piagam Muafakat Nasional.
Apakah PAS tidak ingat atau berpura-pura lupa sejarah dan pengalaman pahit antara mereka dengan Umno?
Apakah PAS sedar Umno hanya mempergunakan mereka apabila Umno lemah? Apakah yang menyebabkan PAS merasakan Umno tidak akan mengulangi strategi sama setelah mereka kembali kuat?
Gadai prinsip
Akhir sekali, PAS yang bergelar parti menegakkan keluhuran nilai Islam dilihat tergamak menggadaikan prinsip kebenaran dan keadilan dengan bersekongkol dengan Umno serta pemimpinnya seperti Najib Razak yang masih memegang jawatan pengerusi Lembaga Penasihat BN.
Bagaimanakah PAS boleh bekerjasama dengan parti dan pemimpin yang bukan saja melakukan banyak kerosakan kepada Malaysia, malah terhadap institusi Melayu-Islam di negara ini?
Sebagai sebuah parti yang sepatutnya memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam, apakah mereka boleh memaafkan pengkhianatan Umno yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada Lembaga Tabung Haji, Felda dan juga Mara yang akhirnya akan ditanggung orang Melayu dan Islam di seluruh negara?
Jika PAS dengan mudah menolak semua salah laku Umno demi mengejar kuasa semata-mata, maka Piagam Muafakat Nasional ini adalah penggadaian besar perjuangan PAS. Tidak hairanlah sekiranya sejarah berulang pada masa depan.
Zairil Khir Johari ialah penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP, naib pengerusi DAP Pulau Pinang dan Adun Tanjong Bunga.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.