Najib tak arah saya lapor salah guna dana 1MDB, kata bekas pembantu

Najib tak arah saya lapor salah guna dana 1MDB, kata bekas pembantu

Amhari Efendi Nazaruddin berkata, beliau tidak diminta membuat laporan kepada polis ataupun SPRM.

Amhari Efendi Nazaruddin hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Bekas pembantu Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang bekas perdana menteri itu tidak pernah mengarahkannya membuat laporan kepada pihak berkuasa atas dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB empat tahun lalu.

Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib, berkata Pejabat Perdana Menteri berdepan kesulitan pada akhir 2014 dan 2015, apabila media melaporkan dana usaha sama 1MDB-Petro Saudi International didakwa disalahgunakan dan ahli perniagaan, Low Taek Jho hidup dalam kemewahan.

“Ada juga laporan mengatakan wang dari 1MDB digunakan untuk membiayai ‘The Wolf of Wall Street’,” katanya merujuk filem yang diterbitkan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Timbalan Pendakwa Raya secara fiat, Gopal Sri Ram bertanya Amhari sama ada Najib pernah mengarahkan dia, Ketua Setiausaha Sulit ketika itu, Azlin Alias, atau sesiapa pun di PMO untuk memfailkan aduan atas dakwaan yang dilaporkan media kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Untuk itu, Amhari menjawab tidak.

Antara 2014 dan 2015, katanya, PMO turut diserang berhubung isu 1MDB.

“Kami di PMO membuat keputusan mempertahankan Datuk Seri kerana kami percaya ia adalah konspirasi terhadapnya.”

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan memberi keterangan petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.