
“Kad ni hanyalah ‘resit’ yang menunjukkan mereka berdaftar dengan pihak berkuasa untuk tujuan banci. Tidak ada dokumen sah yang dikeluarkan atau diberikan oleh Jabatan Imigresen,” kata Ketua Wanita MCA Pamela Yong.
Pamela berkata, hanya Putrajaya berhak mengeluarkan dokumen sah kepada warga asing.
“Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa tersebut di bawah perlembgaan persekutuan. Justeru, dalam kes ini, dokumen yang dikeluarkannya tidak sah dari segi undang-undang,” kata beliau.
Baru-baru ini kerajaan negeri pimpinan Warisan mengumumkan akan menggantikan kad IMM3, Surat Burung-burung dan Banci dengan PSS dalam usahanya untuk mengawal dan memantau pendatang asing tanpa izin di bawah satu sistem berpusat.
Pamela berkata, kerajaan negeri sepatutnya menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal, bukannya mengesahkan kehadiran mereka dengan dokumen yang boleh diperbaharui setiap tiga tahun.
“Pendatang asing ini mungkin memiliki dokumen palsu. Kita tertanya-tanya sama ada kerajaan negeri mengambil kira sentimen rakyat Sabah sendiri?,” soalnya.
Beliau juga mempersoal alasan bahawa PSS merupakan penyelesaian bagi masalah kesesakan di pusat tahanan atau Rumah Merah dengan menyifatkan PSS sebagai kad “keluar penjara” yang akan memberi kesan ke atas demografi negeri tersebut.
“Mereka boleh dan akan hidup menetap, berkahwin dan mempunyai anak dengan rakyat tempatan. Anak mereka ini akan diterima masuk dan berasimilasi ke dalam masyarakt kita. Melalui proses undang-undang mereka akan menjadi warganegara,” katanya.