Langkah Indonesia semak undang-undang berkait seks luar nikah gugat kedatangan pelancong

Langkah Indonesia semak undang-undang berkait seks luar nikah gugat kedatangan pelancong

Pengerusi Lembaga Pelancongan Bali Ida Bagus Agung berkata rancangan semakan undang-undang itu menguntungan Thailand dan Malaysia.

Tempahan pelancong Australia dari Sept hingga Okt 2019 ke Bali mengalami penurunan dan pembatalan. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Rancangan kerajaan Indonesia menyemak semula undang-undang jenayah negara itu (RKUHP) dijangka memberi kesan ke atas kedatangan pelancong asing ke Bali dengan kebanyakan mereka beralih ke destinasi lain seperti Thailand.

Kompas.com memetik kenyataan pengerusi Lembaga Pelancongan Bali (BTB) Ida Bagus Agung yang berkata rancangan semakan semula undang-undang itu menguntungkan pesaing lain seperti Thailand dan Malaysia, terutama pada “zaman perang dagang seperti ini”.

“Jelas rancangan RHUKP menguntungkan kompetitor pelancongan lain seperti Thailand dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini bilangan pelancong asing ke Bali mengalami penurunan, terutama dari Eropah dan China, kecuali pelancong dari Australia.

“Pelancong Austarlia perbelanjaannya kecil jika dibandingkan dengan yang lain, tetapi mereka konsisten dan terus ada jika dilihat daripada jumlah penerbangan ke sini setiap hari,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, tempahan daripada pelancong Australia dari Sept hingga Okt 2019 juga mengalami penurunan dan pembatalan.

“Teman saya di Thailand membertahu berlaku peningkatan dalam tempahan daripada pelancong Australia di negara itu. Jadi Thailand mendapat limpahan daripada pembatalan di Bali,” katanya.

RKUHP, terutama Perkara 417 undang-undang itu, melarang persetubuhan dengan orang bukan suami atau isteri dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Perkara 419 pula menetapkan pasangan yang belum berkahwin yang hidup bersama boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda.

Kompas.com sebelum ini memetik respons pengarah Pusat Undang-undang Indonesia, Islam dan Masyarakat di Universiti Melbourne, Tim Lindsey yang berkata, peraturan mengenai seks di luar nikah akan menimbulkan masalah besar kepada orang asing sekiranya dilaksanakan.

“Apakah pelancong asing perlu membawa kad perkahwinan ketika berkunjung ke Indonesia? Ia juga mendedahkan mereka kepada peras ugut. Mudah bagi polis di Bali berkata, ‘anda belum bernikah, kamu harus bayar’,” katanya kepada The Sydney Morning Herald seperti dipetik Kompas.com.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.