
Bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Low menyediakan surat kepada pihak berkuasa dan pegawai Perbendaharaan dan Shahrol menandatanganinya.
Beliau berkata TIA, sebuah syarikat RM2, mahu memungut RM5 bilion menerusi nota-nota jangka sederhana Islamik dan AmBank Islamic dipilih bagi tujuan itu.
Beliau berkata pinjaman itu sepatutnya dijamin kerajaan persekutuan dan duit itu diperlukan dengan segera kerana pembangunan Pulau Bidong sudah dirancang.
Shahrol, yang dilantik sebagai CEO TIA pada 23 Mac 2009 berkata, tarikh sasaran untuk memungut dana itu adalah penghujung Mei tahun itu.
Saksi kesembilan pihak pendakwaan itu berkata ada mesyuarat antara para wakil TIa dan pegawai Perbendaharaan untuk mencapai tarikh akhir itu.
“Jho Low juga mencadangkan saya menggesa para pegawai Kementerian Kewangan sementara dia juga akan melakukan perkara yang sama dengan menteri kewangan dari atas ke bawah,” katanya ketika disoal pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram.
Diminta menjelaskan siapakah menteri kewangan yang dimaksudkan itu, Shahrol berkata Najib memegang portfolio itu ketika itu.
Beliau berkata Jho Low sediakan satu surat untuk Najib, yang ditandatanganinya atas kapasiti sebagai CEO TIA.
Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Rafidah Yahaya dalam keterangannya sebelum ini berkata Najib mengambil alih TIA sebelum namanya ditukar kepada 1MDB.
Beliau berkata satu fasal baru yang dimasukkan dalam perlembagaan TIA pada 2 Sept 2009 mengubah sifat syarikat itu.
Shahrol kekal sebagai CEO dan pengarah 1MDB, syarikat milik penuh kerajaan.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana didakwa milik 1MDB yang dimasukkan ke akaun AmBank beliau.
Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh sogokan RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.
Dia juga didakwa memindahkan dana tak sah sebanyak RM2.28 bilion ke akaun banknya dan kemudiannya menggunakan duit itu.