Kelemahan reka bentuk pesawat, pemantauan cuaca punca nahas Lion Air

Kelemahan reka bentuk pesawat, pemantauan cuaca punca nahas Lion Air

WSJ melaporkan kesilapan juruterbang dan penyelenggaraan sebagai punca pesawat Lion Air terhempas di Laut Jawa pada Oktober tahun lalu.

Enjin turbin pesawat Lion Air JT610 dinaikkan dari dasar laut ke Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta, Indonesia, pada 4 November 2018. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Penyiasat Indonesia mendapati kelemahan reka bentuk dan pemantauan sebagai punca utama dalam nahas Boeing 737 Max yang mengorbankan semua 189 anak kapal dan penumpang Lion Air penerbangan JT610 pada tahun lalu, lapor Wall Street Journal pada Ahad.

Menurut WSJ, kesimpulan draf itu, yang dijangka menjadi penemuan rasmi pertama kerajaan berhubung kelemahan reka bentuk dan kelulusan kawal selia Amerika Syarikat, turut mengenal pasti kesilapan juruterbang dan penyelenggaraan sebagai punca pesawat Lion Air itu terhempas di Laut Jawa.

Kegunaan pesawat jenis itu dihentikan sejak Mac lalu selepas dua kemalangan maut dalam tempoh lima bulan.

Jurucakap Boeing tidak mengulas laporan akhbar itu, tetapi berkata pembuat pesawat itu terus menawarkan sokongan kepada siasatan pihak berkuasa untuk melengkapkan laporan mereka.

Reuters tidak dapat menghubungi penyiasat Indonesia untuk mendapatkan komen.

Penyiasat nahas udara AS bersedia mengumumkan cadangan keselamatan berasingan, daripada meningkatkan kemahiran juruterbang untuk menerbangkan pesawat secara manual kepada pemeriksaan reka bentuk baru pesawat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), menurut kertas cadangan itu.

WSJ melaporkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS (NTSB) pada akhir bulan ini dijangka menggesa penambahbaikan terhadap latihan kokpit dan kemahiran anak kapal membuat keputusan serta fokus terhadap perubahan berpotensi untuk pensijilan pesawat baru.

NTSB enggan mengulas laporan WSJ, tetapi berkata ia bercadang mengeluarkan cadangan ke atas program pensijilan FAA sekitar bulan ini.

FAA dalam satu kenyataan berkata, ia menyambut baik pemeriksaan oleh pakar keselamatan dan menantikan penemuan mereka.

“Kami terus bekerjasama dengan pengawal selia keselamatan penerbangan antarabangsa lain dan akan mempertimbangkan semua cadangan dengan berhati-hati.

“FAA akan menggabungkan sebarang perubahan yang akan menambah baik aktiviti pensijilan kami.”

Pesawat Lion Air penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober 2018, 13 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi.

Ia disusuli satu lagi nahas membabitkan pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 yang terhempas pada 10 Mac lalu dan mengorbankan 157 penumpang serta anak kapal, beberapa minit selepas ia berlepas dari Addis Ababa ke Nairobi, Kenya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.