DAP mahu PH kerja keras pertahan kerusi Tanjung Piai

DAP mahu PH kerja keras pertahan kerusi Tanjung Piai

Semalam ahli Parlimen Tanjung Piai dan juga timbalan menteri di JPM Md Farid Md Rafik meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor akibat serangan jantung.

(Dari kiri) Lim Guan Eng, Aminuddin Harun, Anthony Loke dan Zulkefly Mohamad Omar pada konvensyen tahunan DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Pakatan Harapan (PH) akan berusaha mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata setiausaha organisasi DAP, Loke Siew Fook.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia semalam, Loke yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, semua jenteri PH perlu bekerja keras, baik di peringkat pusat mahu pun negeri.

“Kita akan menghadapi PRK Tanjung Piai dan ia menjadi ujian besar kepada kita dalam PH. Bagi mengenang jasa, budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti mengembleng tenaga dan menggerakkan jentera untuk memastikan kerusi Tanjung Piai dipertahankan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada konvensyen tahunan DAP Negeri Sembilan di sini yang turut dihadiri setiausaha agung DAP yang juga menteri kewangan Lim Guan Eng, pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga menteri besar Aminuddin Harun serta pemimpin parti komponen PH negeri.

Loke yang juga menteri pengangkutan turut menyifatkan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai pemimpin yang berwawasan dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara dan PH.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir turut bertafakur selama seminit pada awal sesi konvensyen itu bagi memperingkati kematian Md Farid.

Semalam, Md Farid, 42, yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai dan juga naib ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai, meninggal dunia sekitar 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.