5,000 nelayan Pulau Pinang ‘pulau’ laut pada 4 Nov

5,000 nelayan Pulau Pinang ‘pulau’ laut pada 4 Nov

Ia sebagai bantahan terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang dalam mempertahankan hak nelayan di negeri itu.

Poster Hari Solidariti Nelayan yang akan berlangsung pada 4 Nov di Padang Kota.
GEORGE TOWN:
Ribuan nelayan tidak akan turun ke laut untuk sehari pada 4 Nov ini sebagai bantahan terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dikatakan menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata, Hari Solidariti Nelayan pada asasnya akan menjadi mogok buruh dalam mempertahankan hak nelayan di negeri itu.

PSR biasanya dikenali sebagai projek tiga pulau.

Nazri memberitahu FMT, solidariti itu akan berlangsung di Padang Kota, di mana kira-kira 5,000 nelayan dari Pulau Pinang akan menyertainya, selain disertai mereka dari Kedah dan Perak.

“Kami bukan ahli sains atau pemikir, tetapi kami tahu perkara lebih buruk akan berlaku apabila anda mengganggu perairan.

“Jadi pada 4 Nov, kami akan keluar dan mengganggu rantaian bekalan dengan tidak pergi ke laut untuk satu hari.

“Ia bagi menunjukkan kepada orang di luar sana apa yang akan berlaku jika kami tidak keluar menangkap ikan. Tidak akan ada ikan di pinggan anda.

“Penambakan memusnahkan bukan sahaja alam sekitar. Ia memusnahkan kehidupan marin,” katanya.

Kaji selidik penyokong projek PSR baru-baru ini mendedahkan 94.5% nelayan di selatan pulau itu menentang pembinaan projek tiga pulau tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan itu meliputi sebahagian besar kawasan Bayan Lepas dan responden termasuk ahli komuniti perniagaan dalam radius enam kilometer dari tiga pulau itu. Ahli perniagaan memberikan sokongan besar untuk PSR, dengan kebanyakan mereka mengatakan ia akan meningkatkan ekonomi.

Nelayan Teluk Kumbar membantah projek Penambakan Selatan Pulau Pinang pada Mac lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader yang menyokong solidariti tersebut menggesa gerakan kebangsaan terhadap penambakan tanah, mengatakan akan ada bahaya ke atas masyarakat nelayan negeri itu.

“Mereka kata mereka perlukan lebih banyak tanah, tetapi ada ribuan hektar di tanah besar. Kenapa lakukan ini kepada komuniti nelayan kita?”

PSR adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai RM46 bilion Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) melalui penambakan yang meliputi sejumlah 4,000 ekar di Permatang Damar Laut.

Projek ini akan dikendalikan oleh SRS Consortium Sdn Bhd, syarikat usahasama antara Gamuda Bhd dan firma pembangunan hartanah Pulau Pinang Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd.

Gamuda berkata PSR akan setanding Marina Bay di Singapura.

Pemilik projek, kerajaan Pulau Pinang, berjanji untuk mengambil kira semua kebimbangan nelayan.

Dr Afif Bahardin, exco negeri yang mengetuai pasukan petugas yang melibatkan diri dengan nelayan, baru-baru ini berkata banyak perkara dalam senarai permintaan mereka diambil kira dan ia termasuk pembinaan jeti dan melatih mereka dengan kemahiran baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.