Hujan peralihan monsun dari 24 Sept dijangka hapus kesan jerebu

Hujan peralihan monsun dari 24 Sept dijangka hapus kesan jerebu

Permulaan fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula pada 6 Mei lepas.

Menurut Jabatan Meteorologi fasa peralihan monsun dari 24 Sept hingga awal Nov lazimnya membawa ribut petir dan hujan lebat yang akan mengurangkan kesan jerebu yang melanda negara.
KUALA LUMPUR:
Fenomena jerebu yang melanda negara ini sejak dua minggu lepas, dijangka bertambah baik berikutan fasa peralihan monsun akan bermula pada 24 Sept sehingga awal November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, dalam tempoh itu, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan lemah dan berpotensi membentuk awan ribut petir.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh. Sehubungan itu, cuaca berjerebu yang melanda negara dijangka bertambah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula pada 6 Mei lepas.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.