4 pelancong China maut dalam nahas bas dekat taman negara Utah

4 pelancong China maut dalam nahas bas dekat taman negara Utah

Bas yang terlibat dalam nahas berhampiran Taman Negara Bryce Canyon di negeri Utah pada Jumaat tengah hari membawa sekumpulan pelancong China.

4 terbunuh, 12-15 cedera parah manakala 10 lagi mengalami kecederaan ringan dan serius dalam nahas bas berhampiran Taman Negara Bryce Canyon, Utah. (Gambar Twitter)
WASHINGTON:
Kedutaan China di Amerika Syarikat mengesahkan bas yang terlibat dalam nahas berhampiran Taman Negara Bryce Canyon di negeri Utah pada Jumaat tengah hari membawa sekumpulan pelancong China, lapor agensi berita Xinhua.

Nahas itu mengakibatkan kematian dan pelbagai kecederaan, menurut kedutaan China dalam satu kenyataan.

Kedutaan itu berhubung dengan polis tempatan bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai nahas dan menghantar pasukan kecemasan untuk membantu mangsa.

Peronda Lebuhraya Utah (UHP) sebelum itu melaporkan sekurang-kurangnya empat pelancong yang bertutur dalam bahasa Cina terbunuh dalam nahas tersebut.

Sejumlah 30 orang berada dalam bas itu, kata UHP melalui Twitter.

“Empat terbunuh, 12-15 cedera parah manakala 10 lagi mengalami kecederaan ringan dan serius. Bas itu membawa pelancong yang bertutur dalam bahasa Cina ke Bryce Canyon.”

Nahas itu berlaku di jalan negeri 12 (SR-12) pada kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan, kira-kira 5.6km di barat Bryce Canyon, menurut pihak berkuasa tempatan dan taman negara tersebut.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, badan bebas agensi kerajaan AS yang bertanggungjawab menyiasat nahas pengangkutan awam, mentweet pada Jumaat petang bahawa ia menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat nahas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.