Kerajaan campuran BN-PAS di Perlis perlu keputusan pimpinan tertinggi, kata MB

Kerajaan campuran BN-PAS di Perlis perlu keputusan pimpinan tertinggi, kata MB

Pada pilihan raya umum, BN Perlis menang 10 daripada 15 kerusi DUN, manakala PH menang 3 kerusi dan PAS 2.

Menteri Besar Perlis Azlan Man. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) menyambut baik sebarang cadangan mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS, tetapi ia perlu diputuskan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Kita masih lagi boleh mengajak PAS untuk menyertai kerajaan kita (negeri). Tak perlu pun ada Exco melepas dan meletak jawatan yang dipegang. Masih ada ruang untuk 2 wakil daripada PAS sertai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu memerlukan hala tuju yang bersifat dasar yang diputuskan di peringkat kepimpinan parti tertinggi antara Umno dan PAS.

Azlan diminta mengulas pengumuman Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mungkin mengajak Umno menyertai kerajaan di Kelantan dan Terengganu selepas kedua-dua parti itu menandatangani piagam kerjasama pada Sabtu lepas.

Azlan ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Puncak Bukit di negeri Perlis sempena Hari Malaysia yang melibatkan 9 bukit, yang berlangsung di Gua Cenderawasih (Bukit Lagi) di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14, BN Perlis memenangi 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang 3 kerusi dan PAS 2.

Kerusi yang dimenangi PAS ialah di Guar Sanji dan Sanglang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Ismail Kassim mengumumkan keluar BN pada Jun tahun lepas kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan Umno negeri dan menyertai PPBM, menjadikan PH 4 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.