Orang Melayu rindu kebersamaan, kata Tok Mat di malam penyatuan ummah

Orang Melayu rindu kebersamaan, kata Tok Mat di malam penyatuan ummah

Tiada yang lebih membahagiakan orang Melayu melainkan melihat dua parti terbesarnya bersama.

Mohamad Hassan.
KUALA LUMPUR:
Orang Melayu sudah lama merindui persefahaman dan kebersamaan semua kumpulannya, keinginan yang dilunaskan menerusi kerjasama Umno dan PAS, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan malam tadi.

Berucap pada ceramah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Himpunan Penyatuan Ummah, Mohamad berkata orang Melayu mahu melihat dua parti terbesarnya bersama, selepas terlalu lama berseteru kerana punca yang tidak lagi dapat diingat.

“Tidak ada yang lebih membahagiakan kita selaku umat Islam dan bangsa Melayu pada hari ini melainkan lihat ramainya orang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

“Kita di sini untuk nyatakan betapa kita mahu melihat orang Melayu dan Islam di tanah air untuk bersatu dan tidak lagi berpecah belah. Orang Melayu rindu persefahaman ini,” katanya.

Umno dan PAS akan memeterai piagam yang menandakan kerjasama rasmi kedua-dua parti dan sekutu masing-masing hari ini.

Umno dan PAS terdorong menjadi erat selepas Barisan Nasional tewas pada pilihan raya umum ke-14 dan kedua-dua parti menjadi pembangkang nasional berdepan gabungan pemerintah baru, Pakatan Harapan.

Pada Jun tahun lepas, akhbar Singapura, Straits Times (ST) melaporkan kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dan 30-33% menyokong PAS pada PRU-14, memetik kajian Merdeka Centre.

Ini bermakna minimum 65% atau maksimum 73% orang Melayu bersama pembangkang nasional.

Mohamad berkata anak bangsa dan kemuliaan agama akan menjadi mangsa sekiranya orang Melayu terus bersengketa.

“Malam ini sejarah, kita ada di pentas sama untuk kita rungkai apa yang terpendam lama. Orang Melayu rindu kebersamaan begini.

“Hal ini kerana kita berseteru lama, saya juga tidak tahu apa puncanya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad turut bercakap mengenai perbalahan di akar umbi mengenai pengagijan kerusi pada PRU-15.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menasihatkan penyokong Umno dan PAS memberi kepercayaan kepada presiden masing-masing untuk berunding dan menyelesaikan perkara itu.

“Di bawah jangan bising sangat mengenai kerusi, jangan macam itu. Matlamat kita menang pilihan raya, jika hendak menang mesti berpakat dan tidak boleh tamak.

“Pandailah nanti kedua-dua presiden parti, dia berpakat elok-elok, bak kata orang tua-tua, ‘muafakat bawa selamat’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.