Indonesia ‘sasar’ ladang sawit milik Malaysia berkait jerebu, kata eksekutif syarikat

Indonesia ‘sasar’ ladang sawit milik Malaysia berkait jerebu, kata eksekutif syarikat

Syarikat perladangan asing di Indonesia berdepan pemantauan lebih ketat dan lebih kerap daripada pihak berkuasa negara itu.

Kebakaran yang berlaku di pulau Sumatera dan Borneo beberapa bulan kebelakangan ini mengakibatkan jerebu lintas sempadan dengan Indonesia menghantar beribu-ribu anggota keselamatan negara itu untuk memadamkannya. (Gambar AFP)
HO CHI MINH:
Seorang eksekutif kanan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit utama menyuarakan keraguan berhubung dakwaan pihak berkuasa Indonesia bahawa kegiatan pembakaran terbuka oleh syarikat milik Malaysia sebagai punca jerebu yang melanda rantau ini.

Bercakap kepada FMT, eksekutif berkenaan yang enggan dikenali berkata, ini bukan kali pertama syarikat milik Malaysia dipersalahkan kerana menyebabkan jerebu.

“Pihak berkuasa Indonesia dengan sengaja menyasarkan syarikat milik syarikat perladangan Malaysia yang berprofil tinggi.”

Beliau berkata, syarikat perladangan asing yang beroperasi di Indonesia berdepan pemantauan lebih ketat dan lebih kerap daripada pihak berkuasa negara itu berbanding syarikat milik tempatan.

“Ladang milik Malaysia tidak akan berani bermimpi untuk merosakkan jenama dan nilai mereka. Mereka juga merupakan syarikat besar dengan rekod unggul, patuh kepada sistem pensijilan mampan. Mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk menbangunkan jenama mereka.

“Mereka sekali-kali tidak akan terfikir untuk melanggar undang-undang, apatah lagi benar-benar melakukannya.”

Beliau berkata demikian selepas Menteri Industri Utama Teresa Kok menyuarakan keraguannya semalam berikutann laporan bahawa 4 ladang milik Malaysia disenaraikan oleh Indonesia sebagai syarikat yang berisiko dibatalkan status pensijilan mampan mereka kerana melakukan pembakaran terbuka.

Semalam Reuters melaporkan Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak bersikap objektif mengenai kebakaran yang berlaku di negara itu yang menjadi punca jerebu di rantau ini kerana kebakaran juga berlaku di ladang milik Malaysia di Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia menyita tanah milik anak syarikat Sime Darby Plantations, IOI Corporation, TDM Bhd dan Kumpulan Kuala Lumpur Kepong.

Sumber memberitahu, kebakaran mungkin berlaku di tanah yang dimiliki oleh anak syarikat perladangan Malaysia, tetapi ini tidak bermakna mereka melakukan pembakaran terbuka.

“Sejumlah ladang di Indonesia terletak di tanah gambut yang lebih mudah terbakar apabila cuaca panas dan kering. Ada juga kebakaran yang bermula di luar kawasan konsesi, tetapi merebak ke kawasan ladang.”

Teresa berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawatannya di Indonesia dalam usaha mengatasi isu tersebut dengan segera dan baik.

Beliau juga berkata, 4 syarikat terbabit akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memperbetul dakwaan yang dibuat terhadap mereka.

Dalam perkembangan lain di luar Pameran Perdagangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia-Vietnam di sini semalam, Teresa berkata, beliau berharap wakil kerajaan Indonesia dan Malaysia akan dapat bertemu segera.

“Kita boleh periksa keterangan yang ada secara adil dan mencari jalan bagi menghalang isu ini daripada menjadi lebih besar dan lebih serius.

“Malaysia kini mempengerusikan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOC) dan kita sudah pasti akan membangkitkan isu ini,” katanya.

Kebakaran yang berlaku di pulau Sumatera dan Borneo beberapa bulan kebelakangan ini mengakibatkan kejadian jerebu lintas sempadan dan menyebabkan Indonesia menghantar beribu-ribu anggota keselamatan negara itu untuk memadamkannya.

Dilaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menulis surat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo bagi menyuarakan kebimbangan berhubung masalah jerebu yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.