Di sebalik kontroversi Indonesia pilih pegawai polis ketuai badan antirasuah

Di sebalik kontroversi Indonesia pilih pegawai polis ketuai badan antirasuah

Pegawai kanan polis Inspektor Jeneral Firli Bahuri mendapat undi terbanyak dan akan mengetuai Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) sehingga 2013.

Inspektor Jeneral Firli Bahuri akan mengetuai Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) sehingga 2023.
JAKARTA:
Suruhanjaya perundangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bersetuju untuk menamakan pegawai kanan polis Inspektor Jeneral Firli Bahuri berkontroversi sebagai pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

Firli pernah memegang jawatan timbalan bahagian penguat kuasa KPK.

Pengesahan itu muncul di sebalik ‘krisis’ dilalui KPK kebelakangan ini termasuk dakwaan sudah ada usaha untuk mengekang kebebasan suruhanjayanya, yang terkenal sebagai antara badan antirasuah paling bebas di dunia. KPK sering dijadikan model dalam usaha pencegahan rasuah sejak dua dekad lalu.

‘Permusuhan’ antara polis dan KPK bukan perkara baru dalam sejarah perjalanan suruhanjaya tersebut.

“Adakah semua orang setuju?” tanya ketua suruhanjaya perundangan DPR dan wakil parti Golkar, Aziz Syamsuddin kepada ahli-ahli dewan awal pagi Jumaat, demikian lapor portal Tempo.

Semua anggota DPR bersetuju untuk menamakan Firli sebagai ketua KPK, tambah laporan itu.

Daripada 5 calon, Firli meraih 56 undi anggota DPR manakala 4 lagi calon menerima kurang 55 undi. Calon lain termasuk bekas pesuruhjaya KPK Alexander Marwata (53 undi), dekan fakulti undang-undang Universiti Jember Nurul Ghufron (51), hakim mahkamah tinggi Nawawi Pomolango (50), dan aktivis Lili Pintauli Siregar (44).

Beberapa jam sebelum proses menamakan calon itu berlangsung, Timbalan Pengerusi KPK Saut Situmorang dalam sidang akhbarnya mendakwa Firli telah melanggar kod etika apabila bertemu dengan Gabenor Nusa Tenggara Barat Zainul Majdi beberapa kali.

Pada masa itu, agensi antirasuah menyiasat dakwaan rasuah dalam pelupusan Newmont dan Zainul merupakan saksi dalam kes itu.

Bagaimanapun, Firli menafikan tuduhan pelanggaran kod etika.

Saut melepaskan jawatannya dalam KPK sebaik Firli diumumkan sebagai pengerusi baru pada Jumaat.

Portal Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) membawa visual warna hitam sejak semalam.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan menerusi e-mel kepada semua kakitangan KPK serta-merta pada Jumaat, antara lain berbunyi: “Kepada setiap orang yang diberkati Tuhan, saya ingin memberitahu beberapa perkara berkaitan dengan peletakan jawatan saya sebagai pemimpin KPK yang akan berkuat kuasa mulai Isnin, 16 September 2019.”

Dalam pada itu perpecahan dan kontroversi melibatkan KPK semakin ketara apabila muka depan portal KPK muncul dalam warna hitam sejak Jumaat dengan mesej “Kami Tetap Bekerja, Kami Tetap Berjuang. #SaveKPK.”

Ketua komunikasi KPK Yuyuk Andriati berkata, referensi visual itu adalah untuk menyampaikan mesej bahawa suruhanjaya antikorupsi akan terus bekerja dalam keadaan apa pun.

“Kita semua akan terus berusaha untuk membanteras rasuah. Kita tidak akan berpindah dari semangat awal yang KPK dibina, yang menyedari Indonesia yang bebas daripada rasuah,” kata Yuyuk.

Yuyuk mengakui serangan yang banyak bertujuan untuk mengawal dan melemahkan agensi itu. Serangan-serangan KPK boleh dikatakan termasuk penamaan Firli.

Satu lagi – dan agak jelas, katanya percobaan untuk membendung kewibawaan KPK adalah semakan terhadap undang-undang agensi antirasuah.

Dalam pada itu, Times Indonesia melaporkan Firli akan mengetuai KPK sehingga 2023.
Katanya, Firli di bawah visinya mahu melaksanakan 13 program unggulan, 4 program susulan yakni pembangunan sumber daya manusia KPK, pembangunan sistem mitigasi, penguatan pemulihan aset negara, dan peningkatan kerjasama antara suruhanjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.