
Beliau juga menyarankan agar pihak berkuasa merujuk kepada perakuan antarabangsa Mesej Amman yang ditandatangani pada 2005 dalam mentakrifkan Artikel 3 Perlembagaan dan tindakan pihak berkuasa ke atas pengikut mazhab Syiah harus dihentikan serta-merta kerana ia bercanggah dengan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama.
Pada masa yang sama, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyarankan agar pengikut mazhab Syiah diberi hak kebebasan mengamalkan mazhab mereka dan agar kerajaan mengatasi masalah Syiah fobia dengan memasukkan ke dalam kurikulum sekolah mengenai fahaman Syiah. Saranan ini amat baik dan mungkin dapat mengatasi masalah Syiah fobia dalam negara kita.
Bagaimanapun, sebelum ia dibincangkan di peringkat kementerian dan dilaksanakan, kita harus mengambil kira beberapa faktor yang berkemungkinan saranan baik ini akan menjadi suatu mimpi ngeri kepada negara kita, kerana terdapat garis halus antara mewujudkan toleransi dan sikap ektremisme.
Saya memetik laporan Astro Awani pada Julai 28 2013 bertajuk “Tokoh Akademik: Penyelewengan Syiah mencabar perlembagaan negara”. Dalam laporan itu, Maszlee Malik yang juga menteri pendidikan ketika ini, memberi kenyataan antaranya “penyelewengan” Syiah mencabar perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Selain itu, kenyataan beliau dalam laporan itu penuh dengan sikap takfiri dan kenyataan salah terhadap fahaman Syiah. Untuk itu, pertama sekali kenyataan Maszlee ini bercanggah sama sekali dengan semangat Mesej Amman yang mentakrifkan mazhab-mazhab yang diterima dalam Islam, dengan meletakkan mazhab Syiah itu seolah-olah tidak terdiri daripada Islam dan menyatakan kewujudan Syiah mencabar Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Keduanya, bagaimana dengan kewujudan agama-agama lain di negara kita, jika beliau menganggap Syiah itu bukan Islam atau terdiri kumpulan agama lain selain Islam, adakah kewujudan agama-agama lain ini mencabar Artikel 3 Perlembagaan Negara?
Saranan daripada mufti Pulau Pinang haruslah diterima baik tetapi untuk kita melaksanakan saranan tersebut, keperluan untuk kita mengambil kira kecenderungan pentadbir kerajaan terutamanya menteri dalam melaksanakan saranan itu. Saya percaya jika saranan ini hendak dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan yang dipimpin Maszlee dengan kecenderungan takfiri beliau terhadap mazhab Syiah, saranan mufti Pulau Pinang akan menjadi platform kepada benih-benih takfiri dan ektremisme di sekolah, dan malangnya murid dibimbangi akan menjadi mangsa kepada indoktrinasi ideologi kebencian dan mungkin membawa kepada ‘pengIS-an’ murid sekolah.
Untuk kita melaksanakan saranan ini, pertama sekali prinsip keadilan harus diberi keutamaan. Adakah kurikulum yang akan diperkenalkan adil dalam membincangkan kefahaman mazhab lain atau ia hanya akan menjadi satu proses indoktrinasi kebencian?
Saya juga ingin ingin memetik laporan Berita Harian bertarikh 19 November 2018 memetik kenyataan mufti Pulau Pinang yang menyarankan supaya fatwa anti-Syiah disemak semula. Dalam kenyataan ini, beliau menegaskan antaranya, fatwa ini tidak boleh dibuat mengikut kehendak sendiri dan mestilah dibuat dengan hujah dan dalil. Juga beliau mengambil contoh kerajaan salafi Arab Saudi yang diketahui umum permusuhannya dengan Iran, tidak menghalang pengikut mazhab Syiah untuk mengerjakan haji.
Untuk pihak berkuasa Malaysia membuat fatwa rasmi anti-Syiah sudah pasti menimbulkan satu percanggahan di antara konsensus penetapan agama dan kehendak suatu kelompok yang tidak berteraskan hujah yang berpandukan Al-Quran dan hadis. Bayangkan jika Iran membuat fatwa rasmi anti-Sunni yang melarang pengikut mazhab Sunni kebebasan untuk mengamalkan mazhab mereka. Saya yakin dengan sikap ekstrem mufti – mufti dan para ustaz, mereka akan mendesak kerajaan kita bertindak.
Mungkin juga kumpulan IS tokoh kepimpinan baru akan datang daripada kalangan agamawan Melayu Malaysia. Tiada negara di dalam dunia Islam berani memfatwakan mazhab lain sebagai sesat, walaupun Arab Saudi yang sekarang sedang sibuk mengebom dan membunuh penduduk Yaman.
Saya menyeru agar perdana menteri kita memandang serius kepada fenomena takfiri yang melanda negara kita yang mempengaruhi umat Islam sehingga ke peringat mufti. Tugas unit anti-keganasan PDRM menjadi sia-sia dalam membendung keganasan di dalam jika punca utama tidak diatasi iaitu ideologi dan indoktrinasi. Jika ideologi keganasan dengan bebas memasuki corong-corong speaker pembesar di masjid, indoktrinasi keganasan bebas dalam khutbah jumaat, kerja Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan dan pegawai beliau hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi.
Statistik hanya akan meningkat, jenayah kebencian hanya akan bertambah, ekstremisme akan bercambah jika fatwa anti-Syiah ini tidak disemak semula.
Saya amat yakin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sangat bencikan ekstremisme tambahan pula apabila ia datang daripada golongan agamawan. Mahathir ada menyebut tentang keperluan PAS menarik balik “fatwa” kafirnya terhadap Umno sebelum mereka ingin membuat jalinan kerjasama politik. Saya percaya hujah yang sama patut dilontarkan kepada kerajaan sebelum membuat jalinan kerjasama dan diplomatik bersama Iran.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.