
Akhbar Wall Street Journal pada Khamis melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS bersetuju untuk mendedahkan nama individu terbabit, sekali gus mengundang ancaman keretakan diplomatik dengan sekutu utamanya dari Timur Tengah.
Merujuk “ciri luar biasa dalam kes itu,” FBI berkata, ia akan mendedahkan identiti pegawai Arab Saudi itu, namun menolak desakan untuk mengeluarkan maklumat tambahan dan hanya memenuhi permintaan berkaitan satu kes undang-undang, lapor akhbar tersebut.
Peguam sanak saudara mangsa serangan 11 Sept sebelum ini meminta kerajaan mendedahkan nama individu terbabit, yang muncul dalam satu dokumen daripada siasatan FBI pada 2012 berhubung tragedi itu.
Individu itu adalah seorang pegawai Arab Saudi yang didakwa membantu 2 perampas di selatan California untuk melakukan rampasan pesawat penumpang terbabit, yang berakhir dengan tragedi menyayat hati dan mengejutkan dunia 18 tahun lepas.
Kerajaan Arab Saudi berulang kali menafikan sebarang kaitan dengan serangan itu. Sejumlah 15 daripada 19 penyerang adalah rakyat Arab Saudi, manakala pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden (yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu) berasal daripada keluarga Arab Saudi yang terkenal.
Serangan itu meragut hampir 3,000 nyawa apabila pesawat merempuh Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, Pentagon di Virginia dan sebuah padang di Pennsylvania.