
Saksi-saksi memberitahu FMT seorang warga Yaman antara 8 yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) di Kempas, Johor Bahru cuba meninggalkan tempat kejadian apabila seorang anggota polis bertopeng menyambarnya dari belakang dan mengacukan pistol ke kepalanya.
Turut didakwa seorang lagi tahanan, yang mana premis disewa atas namanya untuk majlis sempena Ashura – hari penting bagi pengikut Syiah serata dunia – diancam oleh seorang anggota polis kerana membiarkan pintu terbuka supaya tetamu boleh meninggalkan tempat itu.
“Anggota terbabit diberi amaran oleh seorang ustaz supaya tidak mengasari kumpulan berkenaan. Dia diingatkan tugas mereka hanyalah menjaga keselamatan pada malam itu.
“Dia tidak boleh menjawab ustaz itu, barangkali kerana tahu dia salah dan tindakannya mungkin sekali menyalahi undang-undang. Jadi, mungkin kerana dia tak boleh jawab, dia letak tangan pada pistol dipinggangnya, seolah mahu menyampaikan mesej,” kata sumber, yang bercakap bagi pihak satu kumpulan Syiah, kepada FMT.
FMT belum dapat mengesahkan dakwaan itu dan sedang mendapatkan respon polis Johor dan JAINJ.

Difahamkan 2 tahanan masing-masing membuat laporan polis di Balai Polis Larkin hari ini.
Seorang saksi memberitahu FMT bahawa JAINJ gagal menunjukkan waran semasa menyerbu premis terbabit, sebuah rumah milik perseorangan di Taman Bukit Kempas.
Beliau berkata lebih 20 anggota muncul dalam serbuan itu, diiringi anggota polis bertopeng.
“Beberapa anggota JAINJ memanjat pagar untuk memasuki rumah itu. Menceroboh premis persendirian suatu kesalahan,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah polis sudah melangkaui bidang kuasanya apabila mengambil bahagian dalam tangkapan itu.
“Serbuan itu dijalankan oleh JAINJ. Polis seharusnya berada di situ hanya untuk menjaga keamanan,” katanya.
Dalam serbuan 9 Sept itu, lapan orang, termasuk seorang warga Yaman, seorang warga Indonesia, dan 2 warga Singapura, ditangkap.

Seorang saksi berkata tangan para tahanan digari dibelakang badan dan “dilayan seperti penjenayah”.
Mereka dibawa ke JAINJ menaiki lori hitam dan dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan semalaman.
Lapan orang itu dituduh menyalahi Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor iaitu menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan sultan, majlis atau mufti, yang dinyatakan melalui fatwa.
Tangkapan serupa turut berlaku dalam serbuan terhadap pengikut Syiah di Selangor.
Fahaman Syiah, dengan pengikut yang besar di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan, merupakan fahaman Islam kedua terbesar.
Agensi-agensi agama Malaysia bagaimanapun sekian lama menguatkuasakan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah sebagai “sesat”, dengan serbuan-serbuan menyasarkan pengikut Syiah tempatan.
Seorang saksi dalam serbuan di Johor berkata seorang anggota polis menyepak seorang tahanan kerana mempersoalkan tindakan terhadap mereka.
“Anggota itu berkata, ‘jangan cakap banyak atau saya pukul kamu’. Orang itu jawab, ‘Pukullah saya’.
“Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, seorang jurucakap Syiah berkata serbuan terhadap komuniti itu bukan sesuatu yang baru, terutama ketika ketika acara Hari Asyura diadakan dalam 10 hari pertama bulan Muharram.
Tetapi kali ini, para tahanan dilayan dengan kasar.
“Dulu keterangan mereka diambil dan mereka kemudian dibebaskan. Tetapi serbuan kali ini lebih kasar.”
Beliau menambah pengikut Syiah yang dituduh JAINJ tidak pernah didakwa di mahkamah.
“Mereka tidak ada kes. Mereka hanya mahu menakut-nakutkan dan memalukan kami.”